Narsisistik Yang Merosakkan
Apakah maksud narsisistik yang sebenarnya? Pernahkah anda mengenali seseorang individu narsisistik? Secara umumnya narsisistik bermaksud individu yang terlalu mengagumi diri sendiri atau keakuan yang melampau. Menurut Kamus Dewan Bahasa narcissism atau narsisisme bermakna perihal atau keadaan terlalu memuja atau mengagumi diri sendiri.
Narsisistik adalah sejenis gangguan personaliti di mana seseorang individu itu mempunyai rasa kepentingan terhadap dirinya sendiri sahaja. Mereka hanya mahukan perhatian yang mendalam terhadap diri mereka selain kurang berasa empati terhadap diri orang lain.
Terdapat beberapa faktor risiko yang membolehkan seseorang itu mengalami gangguan narsisistik. Menurut kajian, orang lelaki lebih mudah mengalami gangguan personaliti ini berbanding wanita. Tidak dapat dipastikan dengan jelas apakah yang menjadi punca sebenar kepada kewujudan gangguan ini, namun para penyelidik percaya bahawa ia berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti berikut:
- Mengalami trauma atau peristiwa silam semasa zaman kanak-kanak
- Hubungan pada peringkat awal dengan ahli keluarga, rakan dan juga saudara-mara
- Faktor genetik keluarga
- Sifat peribadi seseorang
- Kritikan secara melampau yang dilalui semasa zaman kanak-kanak
- Faktor neurobiology
Terdapat beberapa kesan atau komplikasi yang boleh berlaku sekiranya seseorang itu terus mempunyai sifat narsisistik ini. Antara kesan yang boleh dialami ialah:
- Kurang mendapat rakan kerana rakan-rakan akan semakin menjauh
- Mempunyai masalah dalam perhubungan bersama pasangan
- Mengalami tekanan dan keresahan yang berpanjangan
- Mempunyai masalah di tempat kerja
- Penyalahgunaan dadah atau masalah berkaitan alkohol
Justeru di dalam Islam, kita sebagai keluarga, saudara atau rakan kepada mereka yang mempunyai sikap narsistik ini adalah berperanan untuk membendung dan mengelakkan penyakit ini menjadi lebih teruk lagi. Di antara kaedah pengawalan yang boleh diterapkan adalah:
- Jauhkanlah dari berdebat tentang siapa yang salah atau betul – Perbincangan dan perdebatan berkaitan perkara tersebut akan tiada kesudahannya.
- Jadilah pendengar yang baik – Keraplah bercerita tentang perkara/aktiviti yang disukai agar ia tidak fokus hanya kepada dirinya sahaja.
- Kerap puji kebaikan yang dilakukan terhadap orang lain – Kerap memuji kebaikan dapat mengajar mereka untuk berbuat baik kepada sesama manusia
- Tunjukkan rasa simpati terhadap apa yang sedang mereka lalui – beri solusi dan kaedah penyelesaian masalah
Seseorang individu yang mempunyai sifat narsisistik ini amat mudah untuk dikenali. Ini kerana, terdapat beberapa perkara atau ciri yang sangat jelas, yang membezakan dirinya dengan orang lain. Berikut adalah beberapa ciri utama yang menunjukkan seseorang itu adalah individu narsisistik.
- Berasa diri sendiri lebih penting
- Kerap berasa bahawa diri sendiri adalah lebih baik daripada orang lain.
- Rasa bahawa diri sendiri adalah seperti golongan atasan dan hanya layak bergaul dengan golongan tersebut sahaja
- Memerlukan pujian setiap masa daripada orang lain
- Rasa mempunyai hak walaupun tidak mempunyai hak ke atas sesuatu
- Sanggup untuk mengambil kesempatan ke atas orang lain demi mencapai tujuan dan matlamat peribadi
- Kurang memahami individu lain atau kurang bersifat empati dalam memahami perasaan orang lain
- Bersikap sombong atau memandang rendah kepada orang lain
Secara kesimpulannya, orang narsistik yang diakibatkan oleh gangguan keperibadian narsistik biasanya menunjukkan perilaku sombong, tiada simpati terhadap orang lain, haus akan puji-pujian, sikap manipulatif dan menuntut sesuatu tanpa menghargai perasaan orang lain.
Justeru, sebagai ahli keluarga dan saudara sesama Islam hendaklah kita membantu golongan ini untuk pulih atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan penyakit tersebut. Edisi