Man Jadda Wa Jada

MARSHA LYDIA, PELAJAR CEMERLANG SPM BAIT AL-HASANAH

Marsha Lydia binti Marzuki merupakan seorang anak asnaf yang menetap di Asrama Bait al Hasanah, Lembaga Zakat Selangor (LZS). Bait al-Hasanah ialah sebuah asrama yang dikhususkan untuk anak-anak asnaf fakir miskin yang berpotensi untuk dibimbing menjadi generasi cemerlang dalam akademik dan sahsiah.

Oleh

Ustaz Haji Muhamad Rafee Bin Rahman
(rafee.rahman@zakatselangor.com.my)
Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (LZS)

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menemu bual Marsha Lydia mengenai pengalaman serta perjalanan pendidikannya sehingga berjaya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Boleh kongsikan sedikit tentang latar belakang kehidupan Marsha Lydia?

Saya merupakan anak asnaf di bawah bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kapar Indah (SMKSKI). Kami sekeluarga menetap di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang dan saya mempunyai lima orang adik-beradik yang turut menerima bantuan pendidikan bagi meringankan beban keluarga.

Boleh kongsikan pengalaman Marsha sepanjang menetap di Asrama Bait al-Hasanah?

Saya amat bersyukur kerana terpilih untuk menetap di Asrama Bait al-Hasanah yang menyediakan pelbagai kemudahan dan suasana pembelajaran yang selesa. Di sinilah saya belajar hidup berdikari, membentuk disiplin diri serta berusaha menjadi seorang Muslimah yang cemerlang dalam akademik dan sahsiah. Sepanjang tahun 2025, pihak Bait al-Hasanah telah menyediakan pelbagai program peningkatan akademik SPM seperti kelas bimbingan khas SPM, kelas intensif peperiksaan, perkampungan ilmu SPM serta program mentor-mentee bagi membantu para pelajar membuat persediaan terbaik menghadapi peperiksaan.

Apakah cita-cita Marsha pada masa hadapan?

Saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru Matematik atau guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak agar dapat mendidik dan membimbing anak bangsa. Saya juga telah membuat permohonan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Unit Pusat Universiti (UPU) bagi melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Saya berazam untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

Apakah nasihat Marsha kepada anak-anak asnaf yang kurang berminat untuk belajar?

Pesanan saya kepada rakan-rakan anak asnaf, jangan pernah berputus asa dalam menuntut ilmu. Teruskan belajar sehingga ke peringkat tertinggi kerana ilmu mampu mengubah kehidupan diri dan keluarga ke arah lebih baik pada masa hadapan. Pihak LZS juga sentiasa menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan bagi membantu anak-anak asnaf mencapai kejayaan. Selain itu, saya juga sentiasa berpegang kepada beberapa amalan penting dalam kehidupan, antaranya:

1. Sentiasa menjaga solat lima waktu;
2. Membaca al-Quran;
3. Menghormati kedua-dua ibu bapa;
4. Memuliakan guru-guru;
5. Sentiasa memberi perhatian ketika berada di dalam kelas;
6. Bersegera menyiapkan tugasan tanpa bertangguh; dan
7. Membantu serta berkongsi ilmu dengan rakan-rakan yang memerlukan bimbingan.

Semoga kejayaan Marsha Lydia menjadi inspirasi kepada anak-anak asnaf lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran serta membina masa depan yang lebih gemilang. Edisi

Related Articles

Back to top button