Man Jadda Wa Jada

CAHAYA DI HUJUNG LORONG

Masyarakat kini umpama dibuai-buai dengan kenikmatan dunia apabila melakukan maksiat tanpa segan silu. Perkara salah yang dilakukan ibarat perkara biasa dalam kehidupan.

Oleh

Muhammad Syafiq bin Ahmad Fozi (syafiq@mais.gov.my) Penolong Pengurus Komunikasi Korporat, MAIS

Menelusuri kehidupan seorang yang tegar dalam melakukan maksiat, team Edisi MAIS mendapatkan kisah sebenar seorang yang pernah terjebak dalam kancah kemaksiatan. Akhirnya bertaubat dengan mencari kebenaran yang nyata dalam agama Islam.

Azhar (bukan nama sebenar) merupakan seorang yang pernah terlibat dalam dunia Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) secara aktif selama lebih daripada 5 tahun. Kini berumur 33 tahun, berkerja swasta di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

Alhamdulillah, Azhar kini jalani kehidupan dalam mengikut syariat Islam dan berusaha untuk berubah demi kebaikan. Sokongan yang diberikan oleh kawan-kawan dan agensi yang berkaitan seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menjadikan Azhar lebih kuat dalam meneruskan perjuangan dalam perubahan ke arah yang lebih baik.

a. Bagaimana Azhar boleh terlibat dalam masalah sosial?

“Saya terlibat dengan dunia gay bermula umur 13 tahun. Kemudian mula berjinak dengan dadah. Mulanya saya merupakan mangsa liwat dan selepas itu saya mula aktif sehingga ke dunia Institut Pengajian Tinggi (IPT). Saya mula ketagih dan sehingga saya jadikan ketagihan itu sebagai kerjaya (Money Boy) untuk menampung perbelanjaan harian saya.”

b. Apakah faktor yang boleh menyebabkan Azhar terlibat dalam gejala sosial?

“Faktor utama adalah disebabkan kurang sumber kewangan. Saya perlukan duit tetapi tiada jalan mudah yang boleh saya dapatkan duit dalam masa yang singkat.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga faktor kuat saya terlibat dalam dunia LGBT ini. Setiap masa berjumpa dengan mereka ini.

Dalam masa yang sama saya juga hidup dengan kurang kasih sayang. Kurang perhatian daripada ahli keluarga menyebabkan saya hanyut dengan kawan-kawan. Kawan-kawan yang berikan kasih sayang yang lebih.”

c. Setelah bertekad untuk berubah yang lebih baik, bagaimana proses pemulihan yang telah dilalui oleh Azhar?

“Alhamdulillah, selepas saya bertekad untuk berubah saya di beri pendedahan dengan adanya pusat pemulihan iaitu Pertubuhan Insan Permata Di Sayangi (PINTAS). Saya telah menjalani proses pemulihan di rumah tersebut.

Sahabat di PINTAS sentiasa memberi sokongan kepada saya untuk berubah. Sentiasa berada di samping saya untuk mencari kebenaran dalam agama Islam.

Tidak ketinggalan, saya juga menjalani proses pemulihan yang telah dianjurkan oleh MAIS. Antaranya ialah Program Penghayatan Islam dan Kelas Bimbingan Agama.”

d. Apakah saranan dan nasihat terhadap masalah sosial yang berlaku pada masa kini?

“Saya berharap agar masyarakat cakna dengan gejala sosial atau gejala LGBT yang berlaku di sekeliling. Bekerjasama dalam membendung permasalahan ini. Peranan ibu bapa juga sangat penting agar gejala tidak berleluasa. Dekati anak-anak dengan hikmah.”

Sekiranya ada dikalangan LGBT yang hendak berubah, pimpinlah mereka dengan ajaran agama Islam yang sebenar dan masyarakat janganlah meletakkan stigma negatif kepada golongan LGBT ini.” Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button