Jendela Syariah

AGIH ZAKAT SENDIRI BERDOSA?

Ya, benar. Sah, tetapi berdosa. Zakat itu sah jika ia sampai kepada asnaf yang berhak,
namun perbuatan itu adalah berdosa kerana mengingkari arahan pemerintah. Inilah Fatwa Negeri Selangor 2007. Pemerintah maknanya ketua Agama Islam. Di Selangor, Ketua Agama Islam adalah Sultan. 

Oleh

Ustaz Hamizul Bin Abdul Hamid (hamizul@zakatselangor.com.my)
Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan,
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Sedikit kontroversi, memang begitulah. Masakan memberi zakat dianggap berdosa. Hakikatnya, semua amalan dianggap sah jika ia menepati rukun, namun dosa itu tetap ada jika melanggar syarak. Solat sah namun berdosa jika baju yang dipakai baju curian. Syarak menyatakan mencuri berdosa. Demikian juga zakat. Zakat itu sah tetapi taat kepada pemerintah itu wajib dan mengabaikannya adalah berdosa.

Sejauh manakah kita kena taat? Cuba Semak frman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nabi Muhammad) dan ulil amri (pemerintah) di kalangan kamu.” (an-Nisa’:59)

Allah SWT menggandingkan tiga jenis ketaatan. Kepada AllahSWT dan Nabi Muhammad SAW adalah mutlak. Namun bagi pemerintah, hadnya ada. Selagi perintah itu dalam perkara kebaikan, taatilah ia. Arahan menunaikan zakat kepada amil adalah baik atau bagaimana?

Sabda nabi: “Mendengar dan taat (kepada pemerintah) itu memang benar, selama mereka tidak diperintahkan kepada maksiat. Jika mereka memerintahkan untuk bermaksiat, tidak boleh mendengar dan taat (dalam maksiat tersebut).” (Riwayat Bukhari).

Maka, di Selangor hukum memberikan zakat secara persendirian sebenarnya dilarang oleh Sultan. Mentaatinya adalah wajib. Ini kerana, amil yang dilantik oleh Sultan itulah tempat zakat disalurkan. Selain itu, jelas zakat yang diuruskan itu tidak ada ketirisan dan tiada peyelewengan. Malah membawa kesan yang sangat baik kepada umat.

Selain itu, ada satu hal lagi yang wajar diperhatikan dalam isu ini. Berpandukan Enakmen Jenayah Syariah Selangor Tahun 1995 (Seksyen 21): ‘Sesiapa pun yang enggan menyerahkan zakat kepada amil yang dilantik oleh pemerintah, maka mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.’

Harus diingat, biar pun asalnya agihan zakat secara persendirian itu khilaf; namun dengan adanya fatwa dan perintah yang jelas daripada pemerintah, maka ia sudah mengikat semua pandangan. Kaedah fqh menyatakan: ‘hukmul hakim yarfa’ul khilaf’ yang bermaksud, ‘keputusan hakim (pemerintah) adalah mengikat’. Oleh itu, jom tunaikan zakat kita di Lembaga Zakat Selangor sebagaimana yang diperintahkan. Wallahua’lam. Edisi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button