Tinta Setiausaha MAIS

TERAS 1: KEADILAN UNTUK SEMUA

Kadangkala, seseorang bukan tidak mahu bangkit daripada masalah yang dihadapi. Mereka cuma tidak tahu ke mana harus meminta bantuan.”

Oleh

YBhg. Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini
Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Hakikatnya, masih ramai masyarakat yang berdepan tekanan hidup akibat konflik rumah tangga, tuntutan nafkah, perceraian dan pelbagai isu kekeluargaan tanpa kemampuan mendapatkan khidmat guaman yang sewajarnya. Ada yang memendam keresahan bertahun-tahun kerana bimbang dengan kos, proses mahkamah dan masa depan kehidupan mereka.

Prihatin terhadap situasi ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyediakan Perkhidmatan Bantuan Guaman Syarie secara percuma kepada masyarakat Islam di Selangor, khususnya golongan B40 dan mualaf. Melalui perkhidmatan ini, MAIS menyediakan peguam Syarie untuk mewakili klien yang berkelayakan dalam kes-kes Mal di Mahkamah Syariah Selangor seperti perceraian, fasakh, taklik, tuntutan nafkah, hak penjagaan anak dan tuntutan kekeluargaan Islam yang lain. Selain bantuan guaman, MAIS turut menyediakan Klinik Guaman Syarie dan platform K-Guam MAIS bagi membantu masyarakat mendapatkan khidmat nasihat dan konsultasi perundangan syariah secara lebih mudah, cepat dan fleksibel.

Perkhidmatan Bantuan Guaman Syarie ini memfokuskan kepada individu dengan pendapatan kasar RM3,000 dan ke bawah, manakala perkhidmatan Klinik Guaman Syarie dan K-Guam MAIS pula terbuka kepada semua lapisan masyarakat Islam di Negeri Selangor tanpa had kelayakan.

Bagi tahun 2025, seramai 1,594 individu telah dibantu melalui perkhidmatan yang disediakan oleh MAIS. Daripada jumlah tersebut, seramai 183 individu dibantu melalui Perkhidmatan Bantuan Guaman Syarie, 219 individu melalui platform K-Guam MAIS dan 1,104 individu menerima bantuan khidmat nasihat guaman melalui Klinik Guaman Syarie mahupun secara terus di pejabat MAIS. Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi menggambarkan kehidupan dan harapan masyarakat yang berjaya disantuni melalui bantuan yang diberikan.

Selain membantu masyarakat melalui perkhidmatan guaman, MAIS juga memainkan peranan penting dalam memperkasa sistem perundangan Syariah di Negeri Selangor. Dari segi pengurusan dan dasar perundangan, MAIS terlibat dalam memacu penggubalan perundangan baharu serta memperkasa undang-undang sedia ada, Antaranya seperti pemerkasaan aspek penguatkuasaan halal, aspek sembelihan, sertu, ketetapan dasar berkaitan tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan lain-lain.

Sebarang pertanyaan hubungi Bahagian Syariah dan Bantuan Guaman, MAIS di talian 03-5514 3643/3695. Edisi

Back to top button