Viral Zakat Berulang!!!
Kisah viral berkaitan kepayahan asnaf fakir dan miskin tidak mendapat agihan zakat acap kali berulang. Suatu ketika dahulu pernah diviralkan kisah seorang asnaf yang ingin mendapatkan duit bantuan lalu memohon di gereja dengan menulis nama pada sekeping borang dan paderi tersebut memberi wang bantuan. Ibaratnya sangat mudah untuk mendapat bantuan kewangan berbanding permohonan di pusat zakat yang banyak karenah birokrasi. Hakikatnya apabila membuat siasatan dan semakan, berita tersebut hanya sekadar khabar angin sahaja seolah-olah ingin memburukkan imej institusi zakat
Apabila datangnya sesuatu berita yang tidak pasti, maka bertabayyun dahulu dengan mencari bukti dan kesahihan khabar berita tersebut. Dalam frman Allah S.W.T yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah Al-Hujarat : 6)
Ibn Kathir berkata: Allah memerintahkan agar kita benar-benar menyemak berita dari orang fasik dengan berwaspada seupaya tidak berlaku sebarang pendustaan dan kekeliruan. Kebanyakan ahli tafsir menyebut turunnya ayat ini kepada al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’it ketika menjadi utusan Rasulullah untuk memungut zakat daripada Bani Mustaliq (Tafsir al-Quran al-‘Azim. Muassasah al-Rayyan. 4/264).
Imam al-Syaukani berkata: yang dimaksudkan dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksudkan dengan tasabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, hingga menjadi jelas dan terang baginya.
Pemberitaan atau perkhabaran yang mudah diterima pada hari ini melalui Facebook, WhatsApp, emel, twitter, surat khabar, majalah atau sebagainya tidak pasti akan ketepatan dan kesahihan maklumat. Perkara ini amat penting bagi kita semua, kerana perkhabaran atau berita yang tidak mempunyai asas atau dalil, menjadikan kita hanya sebagai manusia yang diibaratkan seperti tin yang kosong, bunyinya kuat tetapi tidak mempunyai maklumat atau berita yang sia-sia sahaja.
Empat langkah untuk memastikan penerimaan perkhabaran berita itu sahih iaitu:
I. Melihat kepada sumber berita dan memperhalusinya.
II. Bersikap cermat dalam menyebarkan berita inilah sikap yang sepatutnya ada pada orang beriman.
III. Mencari bukti atau petunjuk
IV. Jika tidak pasti berita yang diterima, jangan Kongsi.
Justeru, sebelum kita menerima satu-satu berita atau ingin menyampaikannya maka pastikan dahulu keabsahan berita tersebut atau sesuatu kenyataan itu. Hakikatnya permainan dari sudut persepsi dan khabar angin yang ditelan bulat-bulat oleh yang tidak mempunyai maklumat yang secukupnya akan mengundang pelbagai petaka dan bahaya. Jika berita ‘viral zakat’ yang tidak benar ini tersebar, maka kutipan zakat akan berkurangan kerana hilang kepercayaan masyarakat dan akhirnya asnaf-asnaf terkesan terhadap kepalsuan berita tersebut. Oleh yang demikian, apabila menerima viral zakat tidak memberi bantuan kepada asnaf, maka buatlah semakan di Institusi Zakat untuk memastikan kesahihan berita tersebut. Pastinya institusi zakat di negeri masing-masing mempunyai maklumat atau data yang lengkap bagi asnaf yang layak menerima zakat. Edisi