TOKSIK TOKSIK DALAM DALAM BERAGAMA

Hadis riwayat Ibnu Majah (No. 4036, Hadis Hasan), Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang orang yang amanah. Kemudian akan berkatalah golongan al-Ruwaibidhah. Baginda SAW ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibidhah? Maka baginda menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar.”
Islam menuntut agar umatnya menjauhi perbuatan berlebih lebihan dan melampau terutama dalam urusan agama sebaliknya mengamalkan budaya bertoleransi, tasamuh dengan berlapang dada berasaskan keluasan fikiran.
Umum sedia maklum bahawa agama merupakan elemen penting dalam kehidupan manusia. Ia membimbing ke arah kebaikan, ketenangan, dan kesejahteraan rohani. Namun, apabila pemahaman agama disalah tafsir atau digunakan untuk tujuan peribadi atau mana-mana kumpulan ia boleh bertukar menjadi toksik dalam agama. Fenomena “toksik dalam beragama” bukanlah merujuk kepada agama itu sendiri yang tidak sempurna, tetapi merujuk kepada cara pembawaan manusia dalam mempraktikkannya yang dilihat menyimpang atau melampaui batas. Rujuklah kepada yang pakar dalam membuat pertimbangan atau keputusan. Jika ada keraguan boleh terus merujuk ke Jabatan Mufti Negeri Selangor yang menyediakan perkhidmatan Soal Jawab Agama atas talian di laman web rasmi https://www.muftiselangor.gov.my/.
Toksik dalam agama boleh datang dengan pelbagai bentuk yang boleh dirumuskan sebagai:
AL-QUSSAS (PENGLIPUR LARA)
Golongan ini sering menggunakan riwayat-riwayat mitos atau yang tidak bersumber untuk menarik perhatian orang ramai. Cerita mereka mungkin menghiburkan, tetapi banyak yang tidak menepati fakta agama dan boleh memesongkan kefahaman akidah serta meremehkan ajaran Islam. Mereka merosakkan agama dengan mencampuradukkan kebenaran dengan kepalsuan. Namun yang menyedihkan adalah kefanatikan pengikut terhadap apa jua yang disampaikan tanpa usul periksa.
LIBERAL DALAM AGAMA
Kebebasan menggunakan akal adalah suatu nikmat besar yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Islam sendiri menggalakkan umatnya untuk berfikir, merenung, dan menggunakan akal untuk memahami ciptaan Allah dan kebenaran agama. Namun, apabila logik akal diberikan kebebasan mutlak tanpa panduan wahyu, ia boleh membawa kepada pelbagai kerosakan dalam masyarakat dan agama.
Kumpulan toksik yang menjadikan akal ini sanggup mempertikaikan hukum wahyu dalam agama, melahirkan fahaman sesat dan ideologinya yang menyimpang.
Golongan ini membawa fahaman yang terlalu bebas sehingga menolak batas-batas syariat. Mereka mungkin mempertikaikan hukum-hukum yang telah tetap seperti aurat, peranan jantina, atau autoriti ulama. Atas nama “pemodenan” atau “hak asasi”, toksik ini boleh membawa umat keluar dari landasan agama yang benar.
GHULUWW DALAM BERAGAMA
Ghuluww beragama adalah toksik yang melampaui batas, apatah lagi sempadan Syariat Allah SWT. Kumpulan ini sering berlebih lebihan dalam peribadatan seperti yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan Sunnah. Mereka berlebihan dalam memuji makhluk sehingga menyanjung atau kadang-kadang berlebihan dalam mengkritik sehingga menghina agama Islam sendiri.
Dalam erti kata lain, toksik ini juga merupakan sifat ekstrem yang berlebihan dalam membicarakan perkara remeh-temeh serta bersikap keras kepada perkara-perkara cabang (furu’). Sifat ini dilarang dalam Islam kerana ia akan melahirkan kecurigaan yang tidak berasas serta tuduhan yang melulu, akhirnya memporak perandakan masyarakat.
Dalam konteks ini kelompok toksik ini akan mudah melatah dalam menjatuhkan hukum, taksub dengan pandangan kelompok sendiri dan yang lebih parah apabila kelompok ini sanggup menunggangi agama demi meraih keuntungan. Sewajarnya toksik ini dihapuskan dengan kecerdasan akal. Apa yang penting raikan persamaan, saling hormat menghormati dan keinginan mencari kebenaran secara kolektif.
ILMU UBAT TOKSIK
Dengan membudayakan masyarakat yang berilmu, ia melahirkan individu yang berdaya saing, mampu memimpin manusia kepada kebenaran, mendekatkan masyarakat kepada kebaikan, merealisasikan kemaslahatan dan mencegah kerosakan serta mewujudkan masyarakat yang bertamadun sepertimana zaman kegemilangan Islam terdahulu.
Penguasaan ilmu juga boleh membimbing manusia mematuhi segala perintah dan menjauhi larangan Allah. Perkara ini menjadikan masyarakat dapat membezakan perkara yang baik dan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Tuntutlah ilmu daripada sumber yang sahih. Belajarlah daripada ilmuwan yang diiktiraf, dan rujuk kepada sumber-sumber utama agama secara menyeluruh. Edisi


