Info Sihat

Tips Muallaf Agar Mental Kekal Sihat

Kesihatan mental mempunyai korelasi (hubungan) yang erat dengan tekanan perasaan yang disebut sebagai stress. Maka, apakah kaitannya dengan muallaf? Ya, kerana tidak dapat dinafikan bahawa muallaf memang berdepan dengan tekanan perasaan ini.

Seorang sahabat muallaf pernah memberitahu, ibu bapanya marah sekali dengan keputusannya memeluk Islam. Malah dia mengambil masa yang sangat lama memujuk mereka. Meyakinkan bahawa dia masih
anak mereka. Dia berjuang mengekalkan nama asalnya. Alhamdulillah, akhirnya dia berjaya melembutkan hati orang tuanya.

“Kamu pilih antara dua. Emak atau Islam?”

Demikian pula kisah seorang gadis berketurunan Dayak yang berhadapan detik sukar saat dia memilih Islam. Keluarganya adalah penganut agama berbeza yang taat. Lalu, kala mengetahui dia berhijrah kepada Islam, dia diberikan tekanan yang sangat dahsyat. Dia dikurung, diancam malah dinafikan hak kebebasan. Dia terpaksa berpura-pura murtad untuk menyelamatkan diri.

Semua ini tidak sukar difahami memandangkan latar sosio-sejarah Malaysia, termasuklah Selangor yang pernah berhadapan dengan isu konflik antara kaum, khususnya era 13 Mei 1969. Prasangka biar pun cuba dikikis, nampaknya masih belum benar-benar terhakis. Masih wujud sentimen, Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam. Walhal, Melayu adalah jenama bangsa; sedang Islam adalah agama. Bangsa Cina dan India hakikatnya lebih awal memeluk Islam berbanding orang Melayu.

Sentimen ini sebenarnya telah memberikan tekanan perasaan kepada kalangan muallaf. Benar, memang ada segelintir ibu bapa yang terbuka menerima keislaman anak-anak mereka; namun selalunya lebih ramai yang enggan menerima dan memberikan tekanan kepada mereka. Sering terjadi mereka dipulaukan dan ada yang lebih tragis dipaksa kembali murtad. Bayangkan betapa tegarnya mereka mempertahankan akidah. Bayangkan pula betapa teruknya tekanan yang mereka hadapi.

Menanggapi persoalan ini, Dr. Osman Chuah yang juga seorang muallaf melalui kajian PhD beliau pada tahun 1997 (bertajuk: ‘Interaction and Integration of Chinese Muslims with their Malay Counterparts in Selangor’) menyatakan, wujud banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kaum Cina-Muslim pasca keislaman mereka.

Beliau menyatakan, sesuatu yang tidak dapat disangkal ialah, masih ada dalam keluarga non muslim yang beranggapan bahawa ‘masuk Islam’ itu sebagai ‘masuk Melayu’, dan ia dikaitkan sebagai pengkhianatan kepada bangsa sendiri. Ini adalah suatu label yang sangat sadis yang perlu dipikul oleh seorang non muslim.
Selain daripada itu, bagaimanakah penerimaan masyarakat MelayuIslam kepada kalangan bukan Melayu yang memeluk Islam di Malaysia?

Penulis tidak mampu menyatakan secara tepat, kerana secara peribadi, belum menjalankan sebarang kajian saintifik mengenainya. Namun, dari pemerhatian yang dilakukan, umumnya kaum Melayu-Islam susah untuk berinteraksi dengan muallaf.

Akibatnya, muallaf juga berdepan dengan sentimen dan penerimaan yang ‘sedikit kurang mesra’ dari kaum Melayu-Islam yang membentuk komposisi paling dominan di Malaysia. Penulis teringat kisah seorang muallaf India yang mengadu, dirinya agak terasing dan kurang diraikan ketika cuba solat berjemaah di surau yang ahli kariahnya adalah majoritinya Melayu-Muslim. Puncanya, hanya kerana sedikit kecuaian ketika dia mengambil wudhuk dan percikan hembusan air dari hidungnya mengenai orang lain. Dia dimarahi.

Demikian jugalah apabila seorang muallaf cina yang selalu melakukan kerja-kerja amal, ada pula suara-suara sumbang yang mengatakan dia lebih sudu dari kuah. Bila dia beriya-iya mempertahankan Islam, ada pula orang merasakan dia seorang muallaf yang sewajarnya lebih ‘low profile’.

Pendeknya, serba tidak kena.

Sering juga mereka yang mahu mendekati Islam dianggap mahu mengambil kesempatan. Ini adalah satu stigma negatif yang sangat merosakkan.

“Saya dianggap mahu dapat zakat dan bantuan kerajaan bila mahu memeluk Islam.”
Ujar seorang muallaf India kepada penulis. Luahan ini terus membuktikan bahawa tanggapan umum di atas adalah benar.

Lalu, sama ada disedari ataupun tidak, persepsi dan sentimen negatif sedemikian telah berjaya membentuk pola fikir ‘bukan Melayu-Islam’ yang berdampak negatif kepada mereka. Ia memberikan tekanan perasaan. Sesuatu yang sukar dimengerti, kecuali oleh mereka yang melalui.

Atas dasar itulah, kita pernah melihat ada muallaf yang mengambil pendekatan menukar identiti menjadi ‘Melayu-Islam celup’ lalu bebaju Melayu teluk belanga, berbaju kurung dan kebaya, bersongkok dan pada
masa yang sama meninggal kayu penyepit, tanglung dan segala asal budayanya.


Edisi kali ini cuba merungkai isu tekanan dalam kalangan muallaf ini dengan mengemukakan beberapa solusi:

  1. NIAT: Tekadkan niat masuk Islam kerana Allah, bukan kerana manusia atau sesuatu yang lain. Tekad yang bulat inilah yang membantu para sahabat zaman silam kekal dalam akidah Islamiah,
    walau diuji dengan pelbagai deraan.
  2. PERGAULAN: Bergaullah dengan kelompok yang membina kekuatan diri sebagai muslim. Misalnya dengan mendekati kalangan muallaf yang sudah berjaya atau NGO muallaf yang sentiasa terbuka membantu.
  3. KONGSI: Muallaf perlu berkongsi masalah yang ada dengan pihak lain agar solusi dapat dicari. Dalam hal ini, guru-guru pembimbing mualaf misalnya yang disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) boleh dijadikan tempat berkongsi masalah dan mendapatkan nasihat.
  4. MOTIVASI: Muallaf perlu sentiasa memotivasikan diri. Salah satu caranya dengan membaca kisah-kisah para sahabat nabi yang memeluk Islam pada zaman awal Islam dahulu.
  5. ILMU: Muallaf perlu giat mencari dan mengisi ilmu di dada agar segera dapat memperbetulkan amalan dan seterusnya dapat menghayati Islam dalam kehidupan.
  6. IBADAH: Muallaf perlu mendekatkan diri dengan Allah SWT melalui amal ibadah seperti solat, membaca al-Quran dan zikrullah.

Sekian, semoga para muallaf dapat terus istiqamah dan meneladani tingkah laku Umar bin al-Khattab, Bilal bin Rabah dan Sumayyah dalam mempertahankan Islam. Wallahua’lam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button