Fiqh Kontemporari

SOLAT TARAWIH EXPRES

Menjelang setiap kali Ramadhan, tular di media sosial solat Tarawih yang ditunaikan secara expres. Melihat gelagat jemaah yang kelam kelibut mengejar pergerakan imam menjadikan seolah-olah ianya bahan jenaka dalam ibadah terawih itu sendiri. Kita juga tidak nafikan, trend seumpama ini mendapat sambutan daripada penduduk setempat. 

Oleh

Ustaz Mohamad Shukry bin Sulaiman (shukry@muftiselangor.gov.my)
Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Negeri Selangor

Solat Tarawih adalah salah satu ibadah khusus yang sangat dianjurkan hanya di bulan Ramadhan. Menurut mazhab yang empat, hukum solat Tarawih adalah sunat muakkad iaitu solat yang sangat dituntut.

Makna tarawih itu sendiri adalah beristirahat. Sebab itu, ia dilaksanakan berselang-seli dengan berehat seketika dengan diselangi bacaan selawat untuk memudahkan para jamaah selain bagi mendapatkan ketenangan serta keikhlasan ketika bersolat terutama buat warga emas.

Apabila dilakukan secara tergopoh gapah sehingga melanggar tamakninah, hukum tajwid bacaan al-Fatihah maka sudah pasti ia berlawanan dan merosakkan sifat solat tarawih itu sendiri. Tarawih yang dilakukan dengan cepat (expres) dengan kepantasan kurang 30 minit ini perlu dinilai dari pelbagai sudut agar ianya tidak menjadi budaya ikutan setiap kali kedatangan Ramadhan. Ulama berbeza pandangan kewajaran tarawih yang dilakukan dengan cepat atau expres.

Majoriti ulama berpandangan bahawa solat tarawih perlu dilakukan dengan tenang dan khusyuk, sementara yang lain lebih mementingkan bilangan rakaat dan tidak terlalu menekankan kelajuan solat.

Dalam ibadat solat, apabila ia dilakukan dengan tergesa-gesa tanpa adanya tamakninah apatah lagi bacaan surah al-Fatihah yang tidak sempurna di baca ia disifatkan sebagai ‘pencuri’.

Daripada Abu Qatadah, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri daripada solat mereka.” Sahabat pun bertanya, “Wahai Rasulullah SAW! Bagaimana mereka mencuri daripada solat?” Maka Rasulullah SAW menjawab: “Mereka yang tidak sempurna rukuk dan sujud (iaitu mengerjakan solat dengan tergopoh-gapah).” (Riwayat Ahmad, al-Tabrani dan Ibn Khuzaimah)

Pandangan lain menyatakan bahawa, solat Tarawih expres ini boleh mengurangkan kekhusyukan dan kualiti solat bahkan ianya adalah dilarang. Solat yang dilakukan dengan cepat dan tidak sempurna boleh menghilangkan kesempurnaan solat itu sendiri, dan hal ini bertentangan dengan tujuan utama solat, iaitu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan khusyuk.

Hujah sandaran kelompok ini adalah merujuk kepada ianya tradisi turun temurun sejak sekalian lama tanpa ada bantahan daripada pihak berwajib. Malahan pegangan warisan generasi ini dilakukan oleh Pak Kiai-pak kiai yang memiliki pengaruh dalam masyarakat.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda: “Solat yang paling disukai oleh Allah adalah solat yang dilakukan dengan khusyuk, walaupun sedikit.” (Riwayat Muslim)

Apabila seseorang melaksanakan solat tarawih dengan sangat laju, ia berisiko mengurangkan tumpuan dan mengabaikan rukun-rukun solat seperti bacaan al-Fatihah dengan baik, tidak melakukan rukuk dan sujud dengan sempurna. Hal ini akan mengurangkan keberkatan dan pahala solat tersebut. Tamakninah adalah Rukun Solat. Para ulama sepakat bahawa tamakninah adalah wajib dalam solat. Solat yang terlalu cepat sehingga tidak sempat mencapai tamakninah boleh menyebabkan solat itu tidak sah.

Tarawaih adalah ibadah tambahan yang memberikan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jika solat dilakukan terlalu cepat tanpa memberi perhatian kepada rukunnya, ia boleh menjejaskan keikhlasan dan matlamat ibadah.

Peringatan Rasulullah SAW: Dalam sebuah hadis, Baginda pernah menegur seorang sahabat yang solat terlalu cepat sehingga rukunnya tidak sempurna. Rasulullah SAW bersabda:

“Kembalilah dan solatlah semula kerana sesungguhnya engkau belum solat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagian besar ulama berpendapat bahawa solat Tarawih yang dilakukan dengan cepat tidak menepati sunnah, yang mengutamakan ketenangan, kekhusyukan, dan penghayatan. Namun, ada juga ulama yang berpendapat bahawa tidak ada masalah jika seseorang solat Tarawih dengan cepat selama rukun-rukun solat dilaksanakan dengan betul dan sempurna.

Namun demikian, solat Tarawih yang dilakukan terlalu cepat hingga tidak memenuhi syarat-syarat kesempurnaan solat mesti dielakkan, kerana kekhusyukan dalam solat adalah sangat penting.

Solat adalah komunikasi langsung antara hamba dan Allah. Oleh itu, kekhusyukan sangat penting dalam solat. Untuk mencapai kekhusyukan tersebut, solat tidak seharusnya dilakukan dengan tergesa-gesa. Solat yang dilakukan dengan perlahan dan penuh perhatian akan membawa kepada ketenangan jiwa, meningkatkan kualiti ibadah, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kesimpulan

Hukum solat Tarawih yang dilakukan dengan laju tidak semestinya membatalkan solat, tetapi ia berisiko mengurangkan kualiti solat tersebut. Sebaiknya, solat Tarawih dilaksanakan dengan tenang, penuh perhatian, dan khusyuk. Umat Islam disarankan untuk menjaga kesempurnaan rukun solat, dan mengelakkan perbuatan yang menyebabkan solat dilakukan dengan tergesa-gesa atau laju. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button