Popular Tidak Semestinya Tepat
Hai gaiss… saya ingin memberikan hukum berkaitan perkara yang viral sekarang ini …”, … ikuti saya dalam… untuk mengetahui lebih lanjut jawapan dan kupasan hukum mengenai …
Inilah antara ungkapan yang sering kita dengari samada melalui aplikasi media sosial dan talian telefon sepeti di Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Telegram, dan yang seumpama dengannya
Apabila datangnya isu-isu viral terkini yang melibatkan sudut pandangan hukum, maka kita melihat ramai netizen, ‘mufti media sosial’ dan adakala penceramah, pendakwah atau ustaz-ustaz selebriti yang menggunakan platform dan nama yang sedang mencanak naik untuk cuba memberikan pandangan hukum tanpa tabayyun (membuat semakan) dan merujuk kepada pihak-pihak yang berautoriti sehingga adakalanya pandangan
tersebut mengundang polemik dalam masyarakat dan boleh memburukkan lagi keadaan. Inilah yang dikatakan; ‘POPULAR TIDAK SEMESTINYA TEPAT’.
Sejak akhir-akhir ini, media sosial seperti Tik tok, FB, Instafamous dan yang lainnya menjadi kegilaan masyarakat khususnya;
- Golongan remaja,
- Dewasa,
- Bahkan golongan berusia atau warga emas sehingga mendapat rating yang sangat tinggi penggunaannya.
Apabila timbulnya sesuatu isu viral maka medium inilah yang sering menjadi rujukan utama golongan-golongan tersebut. Amat menyedihkan dan dikhuatiri, apabila isu viral yang melibatkan sudut pandangan hukum yang sepatutnya dijawab oleh pihak yang berautoriti, tetapi cuba dijawab atau diberikan pandangan melalui media sosial oleh netizen dan adakalanya oleh pendakwah dan ustaz-ustaz selebriti tanpa melihat dan mengambil kira kepada waqi’ suasana dan uruf setempat.
Dibimbangi oleh sebab jawaban dan pandangan tersebut datangnya daripada pendakwah dan ustaz selebriti lalu tersalah lantas dipegang dan digunapakai oleh masyarakat yang tiada latar belakang pendidikan ilmu dan agama yang mantap, maka akan menimbulkan konflik, pergeseran, lelucon, pergaduhan dan masalah dalam masyarakat.
Di kesempatan ini, saya menyarankan dan menasihati kepada semua semua pihak dan sesiapa sahaja agar tidak menggunakan kebebasan yang diberikan melalui media sosial atau menggunakan kedudukan ataupun populariti untuk memberikan pandangan, ulasan, komen terhadap isu-isu yang viral apatahlagi isu yang memerlukan kajian, istinbat hukum dan perbincangan hukum bagi mengelakkan suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat Islam di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya.
Sebaliknya saluran yang boleh dirujuk untuk mendapatkan maklumat yang tepat ialah pihak yang berautoriti khusunya pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Mufti setiap negeri agar keharmonian kehidupan bermasyarakat terpandu dengan ilmu dan dapat berlangsung dengan aman, damai dan sejahtera.
Moga bermanfaat dan asbab kebaikan. Edisi