PERJALANAN SUCI VS FANTASI
“Teringin sungguh nak naik haji. Minum air zamzam sepuas-puasnya. Lihat ka’abah hari-hari. Boleh solat di Masjidil Haram. Boleh doa puas-puas.”
Ya, ‘naik haji’ adalah impian semua Muslim yang sempurna imannya. Titik dan puncak kesempurnaan rukun Islam adalah ‘haji’. Mereka yang mampu namun enggan, dampaknya dosa. Samalah orang yang mampu solat, mampu bayar zakat dan mampu berpuasa Ramadan, namun dengan sengaja mengabaikannya, maka berdosalah orang berkenaan.
Namun begitu, semua orang tahu. Haji itu penuh cabaran. Sebelum nama kita terpilih oleh Tabung Haji (TH); cabaran sudah bermula. Wajib mendaftar dan menunggu, masanya sungguh lama. Kemudian, mencari wang dan menabung sedikit demi sedikit, itu juga cabaran. Setelah terpilih, kita pun harus ke Mekah yang panas dan membahang, serentak itu kita harus meninggalkan segala keselesaan di tanah air, itu juga cabaran.
Ya, Kota Mekah dan sekitarnya adalah antara titik terpanas di dunia. Suhunya bisa mencecah 50° celsius, separuh air mendidih. Mengerjakan haji pula bukan seperti berjoging di sekitar tasik Shah Alam, lengang dan lega. Di sana, kita kena bersesak. Baik Ketika tawaf, kala sai, ketika melontar jumrah, bermalam di Mina dan Mudzalifah dan banyak lagi. Itu semua cabaran.
Namun, hati kita terubat kala teringat janji-janji Allah SWT. Haji yang mabrur balasannya syurga. Haji yang Ikhlas, terampun segala dosa. Maka, ada orang berangan-angan, kelak sehabis tahalul dan menanggalkan ihram, dia akan menjadi manusia baharu. Dia bukan sekadar punya gelar, ‘haji atau hajah’, namun segalanya berubah. Dia akan jadi orang soleh dan solehah. Orang yang menyenangkan dan bukan lagi kaki pendosa.
Subhanallah. Impian itu bagus sekali, melangit isinya. Namun, haji bukan sekadar impian muluk. Impian tanpa usaha ialah fantasi. Impian hendaklah dipacu, diraih dengan usaha, baharulah ia menjadi cita-cita. Itulah, meraih cita-cita dan menjadikan ia realiti, tidak semudah membalikkan telapak tangan. Cabaran paling sukar, sejauh manakah kita mampu sabar. Istiqamah dalam beramal. Bermujahadah menahan nafsu.
Aduhai, amat malang jika kita sudah melaburkan wang puluhan bahkan ratusan ribu, namun ia menjadi abu dan debu. Ya, hanya kerana gara-gara gagal menahan diri dari melakukan dosa. Janjijanji manis di hadapan Ka’abah meruap ke langit kala sudah di tanah air. Hilang tak berbekas. Hilang tanpa jejak.
Maka, dalam kesempatan ini kami di Edisi MAIS cuba memahamkan para pembaca tentang pentingnya kita menjiwai ibadah haji. Apakah erti sebenar di sebalik gelar ‘hajah dan haji’. Apakah erti sesungguhnya menggantungkan gambar-gambar cantik di Mekah di dinding rumah? Ia bukan sekadar bermegah; namun harus punya falsafah. Kami usahakan solusinya. Selamat membaca! Edisi.