Viral Kini

PENTINGNYA ADAB DI MEDIA SOSIAL

Tidak dinafikan bahawa kewujudan pelbagai bentuk media digital termasuk media sosial telah membawa manfaat dan kemudahan yang banyak kepada manusia.

Oleh

Shahrul Effendy bin Md Saat (fendy@mais.gov.my)
Eksekutif Perhubungan Awam & Khidmat Pelanggan, MAIS

Media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram, WhatsApp, Telegram, dan seumpamanya telah menjadi wadah penyebaran maklumat dan perhubungan yang penting dalam kehidupan seharian kita.

Pada waktu yang sama, media sosial juga boleh menjadi medan bagi menggalakkan perbalahan, kebencian, fitnah dan juga keganasan. Tidak kurang juga ramai masyarakat hari ini terperangkap dalam budaya menghasut, memfitnah dan menyebarkan kebencian dalam penggunaan media sosial.

Selain itu, terdapat juga golongan yang mempersendakan hukum Allah. Sebagai contoh dengan mudah mengumumkan dia sudah murtad di khalayak ramai terutama dalam media sosial akibat daripada kesilapan diri sendiri. Ia berlaku dalam kalangan golongan yang merasakan mereka popular dalam masyarakat. Walaupun kelakuan mereka itu pelik dan bertentangan dengan tabii manusia, tetapi mereka berasa bangga untuk memberitahu semua orang bahawa mereka telah keluar daripada Islam.

Imam al-Zarkasyi menyatakan bahawa: “Sesiapa yang berkata perkataan yang membawa kepada kufur secara sengaja tanpa niat untuk kufur maka beliau dikira murtad.” (rujuk al-Mansur fi al-Qawaid Fiqh Syafie, jld. 2, m/s 112).

Pengguna media sosial juga wajar peka bahawa perbuatan mengongsikan aib orang lain juga adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika. Malah, jika perkara yang dikongsi itu mengandungi unsur-unsur dosa dan maksiat termasuklah penipuan, pembohongan dan lain-lain, maka ia juga sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

Maka di sini pentingnya kita menghayati panduan agama yang menganjurkan adab dan etika ketika berinteraksi sesama manusia termasuk di medan media sosial.

PENTINGNYA ADAB DAN ETIKA

Dalam hal ini, Islam telah memberikan prinsip-prinsip umum yang boleh diaplikasi sebagai adab khusus penggunaan media sosial.

Dalam bahagian akhir ayat 30, Surah al-Hajj, disebutkan supaya kita menjauhkan diri daripada perkataan yang dusta. Natijahnya di sini adalah dalam menggunakan media sosial, kita perlu memastikan bahawa hanya perkara yang benar sahaja disampaikan dan dikongsikan.

Dalam ayat 125, Surah al-Nahl pula, ditekankan keperluan adanya kebijaksanaan dalam penyampaian maklumat, dan ini perlu disekalikan dalam bentuk nasihat yang baik dan perbahasan yang beradab berasaskan fakta yang jelas dan tepat.

Surah al-Hujurat sarat dengan panduan yang amat relevan kepada pengguna media sosial. Ayat keenam memerintahkan supaya kita menyelidik dahulu berita yang diterima. Ayat 11 mengingatkan kita supaya tidak mencemuh, merendah-rendahkan, menyatakan keaiban dan memanggil-manggil dengan gelaran yang buruk ke atas pihak lain, manakala ayat 12 Surah al-Hujurat pula menekankan supaya kita tidak bersangka buruk, mengintip, mencari kesalahan orang lain dan mengumpat.

Kesemua panduan daripada al-Quran ini sebenarnya wajar diterapkan dalam sanubari setiap pengguna media sosial. Kita tidak wajar menyalahgunakan teknologi yang ada ini dengan menyebarkan perkara-perkara palsu, tidak sahih dan tidak tepat, apa lagi jika ia berupa fitnah dan membuka aib orang lain.

Hal ini penting supaya penggunaan media sosial dapat memberikan ganjaran pahala dan bukannya balasan dosa kepada kita.

KESIMPULAN

Setiap Muslim harus peka dan waspada dengan setiap tindakan dan pertuturannya. Bahasa, tutur kata dan sikap yang baik mencerminkan keperibadian dan akhlak seorang Muslim.

Kesilapan dan kelalaian dalam hal ini membawa padah yang buruk dan boleh menimbulkan fitnah. Peribahasa Melayu ada menyebut: Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa; dan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Mari kita hayati suruhan Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 25:
“Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah
(yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa
orang-orang zalim antara kamu secara khusus (tetapi akan
menimpa kamu ke semuanya). Dan ketahuilah bahawa Allah
sangat berat seksanya.”

Semoga penghayatan panduan agama yang dikongsikan dalam artikel ini dapat membantu kita menjadi lebih peka dan waspada dalam setiap tindakan dan tutur kita. Marilah kita terus maju sebagai satu masyarakat yang sentiasa dihiasai keindahan adab, moral, saling menghormati dan kasih sayang.

Masyarakat juga boleh merujuk soal jawab agama di laman web Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) di www.muftiselangor.gov.my bagi sesuatu isu atau permasalahan berkaitan dengan hukum agama mengikut syarak.

Teknologi komunikasi dan media sosial pada dasarnya sangat bermanfaat dan bertujuan mempermudahkan urusan manusia. Sekiranya ia digunakan dengan niat yang betul, maka ia akan membawa kepada manfaat dan kesejahteraan hidup.

Namun, sekiranya media sosial itu disalahgunakan, maka ia akan membawa kepada perkara yang sia-sia dan merugikan. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button