1/2023Fokus

MERAWAT MUAFAKAT UMAT

Ya Allah, jadikanlah masjid dan surau di negeri Selangor, rumah-rumah-Mu yang aman, mempersatukan dan menjadi nadi kekuatan umat

Oleh: Ustaz Hamizul Bin Abdul Hamid (hamizul@zakatselangor.com.my)

Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

 

Inilah cuplikan doa yang wajib dibaca oleh khatib pada setiap hari Jumaat di negeri Selangor. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memasukkannya secara rasmi. Doa ini biarpun ringkas; namun maksudnya amat mendalam sekali. Di luar sana, akuilah perpecahan memang wujud.

Perpecahan adalah musibah. Jalan terbaik, cegahlah perpecahan; kekalkan permuafakatan. Namun, muafakat adalah angan-angan jika bibit perpecahan terus ditiup, seperti semilir yang meniup bara hingga marak menyala.

Melihat kepada senario ini, Edisi tampil menawarkan solusi. Tidak cukup sekadar beranalogi tentang lidi: sebatang vs segenggam; atau berfalsafah: bulat air kerana pembetung, bulat manusia dek muafakat. Mari kita telusuri peranan masjid secara nyata dalam merawat muafakat umat.

Apakah Erti Masjid?

Kamus al-Mu’jam al-Wasit, menyatakan masjid secara umum bererti bersujud, taat, patuh serta tunduk dengan penuh hormat. Atas dasar itu, masjid adalah tempat umat Islam menumpahkan ketaatannya kepada agama.

Apakah Fungsi Masjid?

Allah SWT menggambarkan antara fungsi masjid ialah, tempat untuk mengingati Allah SWT dengan solat dan berzikir (alBaqarah: 114), sebaik-baik tempat untuk dimakmurkan, serta membuktikan keimanan dan tempat turunnya hidayah (atTaubah: 18). Masjid juga tempat untuk kita bertaubat kepada Allah (at-Taubah: 108).

Menelek sirah Nabi Muhammad SAW, fungsi masjid lebih luas lagi. Masjid dijadikan pusat kehidupan hingga menjadi perkara pertama perlu dibangunkan, seperti mana nabi membangunkan Masjid Quba’ (hadis al-Bukhari), masjid sebagai pusat belajar dan mengajar (riwayat Ibnu Majah dan al-Baihaqi) dan masjid sebagai pusat pengurusan harta umat Islam (riwayat al-Bukhari) serta banyak lagi.

Tips Merealisasikan Masjid Zon Muafakat Umat

  1. Mengamalkan budaya ‘3-S’ di masjid, iaitu ‘senyum, salam dan sapa’, tanpa ada sebarang prejudis atau perasaan buruk sangka kepada orang lain.
  2. Tidak membicarakan sebarang isu yang boleh mencetuskan pertikaian khususnya isu-isu politik kepartian.
  3. Tidak menzahirkan kecenderungan kepada sesuatu kelompok dengan sengaja, misalnya memakai baju berlogo tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak senang pihak lain.
  4. Menjadikan majlis ilmu sebagai medan memberikan kefahaman Islam yang sebenar dengan tidak diselangi elemen yang boleh merosakkan muafakat umat.
  5. Menjadikan doa selepas solat berjemaah yang dibacakan sebagai wahana penyatuan umat dengan doa yang menjurus kepada muafakat umat.
  6. Bersedia untuk saling memaafkan dengan membudayakan saling bersalaman selepas solat. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button