Gen Q

LIBERALISASI PERAYAAN VALENTINES DAY

Liberalisasi merupakan sesuatu proses membebaskan diri, berfikiran terbuka dan tidak terkongkong kepada satu aliran pemikiran. Manakala Islam Liberal merujuk kepada aliran yang memiliki ciri keterbukaan dan kebebasan melangkaui syariat Islam. Aliran ini bersandarkan falsafah kebebasan mutlak iaitu individualisme, rasionalisme, menggunakan maqasid akliyyah dalam menafsir agama, mentafsir semula al-Qur’an dan memperjuangkan Pluralisme bagi menyamatarafkan dan mengiktiraf kebenaran agama agama lain sama seperti Islam.

Oleh

Dr. Halim bin Mokhtar (halim@uis.edu.my)
Pensyarah Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor

Sambutan perayaan Valentines Day atau Hari Kekasih pada tanggal 14 Februari setiap tahun di seluruh dunia untuk pasangan kekasih meraih kasih dan cinta. Generasi muda Islam yang bercinta juga tidak terlepas untuk menyambutnya dengan alasan Islam menganjurkan umatnya berkasih sayang dan tiada salahnya jika ianya menuju kepada kebaikan. Inilah permulaan virus liberalisasi di kalangan generasi muda iaitu keterbukaan yang merosakkan dan ikutan tanpa ilmu. Justeru Islam dengan jelas telah menetapkan bahawa larangan menyambut perayaan Valentines day berasaskan perkara berikut:

Menyerupai Amalan Agama Lain.
Ia adalah perayaan yang bersumberkan upacara keagamaan Kristian yang dikaitkan dengan Saint Valentine simbol bagi penganut Kristian. Jelas Islam melarang umatnya meniru atau menyerupai cara serta budaya hidup orang bukan Islam termasuklah mana-mana perayaan yang boleh merosakkan aqidah. Hadith Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.” (Riwayat Abu Daud)

Mendorong Kemungkaran.
Perayaan ini menjurus kepada melakukan aktiviti tidak bermoral yang dilarang oleh Islam seperti pergaulan bebas yang boleh mengundang kemaksiatan dan perzinaan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat” (QS al-Isra’: 32)

Ketetapan Fatwa.
Mesyuarat Jawatankuasa fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2006 telah memutuskan bahawa: Amalan merayakan perayaan Valentines Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalan yang bercampur dengan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Orang Islam yang bertindak dengan cara menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah dan arahan Mufti yang dinyatakan atau yang dibenarkan fatwa ini, boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (negeri Selangor) tahun 1995.

Oleh yang demikian, sambut perayaan ini adalah dilarang di dalam Islam sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi muda Islam. Pelbagai pendekatan, usaha dakwah yang strategik boleh dilakukan oleh agensi-agensi agama serta pendakwah di peringkat individu, keluarga dan masyarakat bagi menghalang perayaan ini disambut di antaranya :

 Memperkasa Ilmu Agama di Kalangan Generasi Muda.
Ianya boleh dilaksanakan dengan menghadiri siri pengajian seperti kuliah, ceramah, seminar dan sebagainya secara bersemuka atau melalui MEDSOS yang terpilih keabsahannya dalam membicarakan topik sambutan ini. Melayari laman web yang dapat memberikan informasi yang sahih seperti laman web Majlis Agama Islam Selangor atau pihak agensi agama yang berautoriti.

Memperkasa Peranan Keluarga dan Komuniti.
Sikap cakna dan prihatin terhadap perkembangan budaya hidup generasi muda perlu diambil perhatian. Kesongsangan budaya yang bercanggah dengan Islam perlu dihalang dan ditegur. Konsep saling mengingatkan antara satu sama lain tentang bahayanya sambutan ini perlu di perhebatkan. Pihak Masjid dan Surau berperanan menjemput para pendakwah yang bertauliah untuk menjelaskan isu ini di kalangan ahli kariah.

Memperkasa Peranan Pihak Berkuasa.
Penguatkuasaan mestilah dilakukan dengan tegas terhadap pelaku aktiviti ini. Virus yang mesti dibendung sebelum merebak. Tindakan menyekat dan menyaring media massa dan media sosial yang boleh menggugat aqidah dan pemikiran umat Islam perlu dilaksanakan untuk menjadi benteng kepada generasi muda Islam.

Kesimpulannya sambutan perayaan Valentines Day tidak harus dipandang ringan atau diberi ruang dalam kehidupan generasi muda. Bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan negara perlu bertanggungjawab menghalang sambutan perayaan ini yang boleh merosakkan aqidah dan akhlak. Cabaran semakin terbuka dan bersedia dengan terjahan langit terbuka serta dunia 5G di hujung jari. #Bangkit Generasi Muda, Say no to Valentines day!!! Edisi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button