Fiqh Kontemporari

KEPELBAGAIAN NIAT HAJI

Terpilih sebagai Dhuyufurrahman untuk mengunjungi Baitullahilharam adalah anugerah
terindah dari Allah SWT bagi menyempurnakan ibadah rukun Islam kelima. Diharapkan kesemua jemaah haji dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadat sepanjang berada di tanah suci. Sudah pasti jutaan umat Islam dari segenap pelosok dunia bersiap sedia untuk melakukan perjalanan ibadah terbaik dan bermakna sepanjang berada Tanah Suci Mekah dan Madinah.

Oleh

Mohamad Shukry Bin Sulaiman (shukry@muftiselangor.gov.my)
Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Negeri Selangor

Ibadah haji juga memiliki keistimewaan yang tersendiri kerana ia merupakan ibadah bersifat multi-dimensi membabitkan pelaksanaan ibadah secara fizikal, rohani dan harta. Aspek fizikal merupakan suatu yang diutamakan dalam ibadah haji sehingga maksud ‘mampu’ yang menjadi syarat kewajipan haji turut bermaksud kesihatan tubuh badan, kemampuan bergerak dan lain-lain. Ini menuntut setiap Muslim untuk menjaga kesihatan tubuh badan yang dianugerahkan oleh Allah dan menjadi tanggungjawab untuk dipelihara demi melaksanakan ibadah kepada-Nya.

Pensyariatan ibadah haji dilakukan atas beberapa faktor yang mendalam dan sangat penting bagi umat Islam. Faktor utama ibadah Haji dilaksanakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Dengan melaksanakan semua ibadah yang ditentukan semasa haji, seperti tawaf, sai, wuquf di Arafah, dan lain-lain. Daripada situlah pengabdian setulus hati jemaah haji dengan penciptaNya dapat dihayati.

Dalam menggapai haji yang Mabrur, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan haji tanpa melakukan perkara yang mungkar dan tidak melakukan maksiat, maka dia akan kembali (ke rumahnya) sebagaimana pada hari ibunya melahirkannya.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim). Justeru, ibadah haji adalah peluang untuk memulakan lembaran baharu dalam kehidupan rohani seseorang.

Namun, pada masa kini terdapat segelintir individu yang menjalani ibadah haji dengan mempunyai niat yang lain di samping niat yang utama. Antaranya ialah menunaikan haji dengan niat mencari jodoh, membuat content untuk dimuat naik dalam media sosial, membeli barang jualan dan lain-lain.

Tidak ketinggalan, mencari jodoh atau matlamat duniawi yang lain turut menjadi pilihan. Paling malang lagi, masih terdapat niat kepercayaan karut marut, berselindung di sebalik kain ihram yang dipakai. Antara kepercayaan tahyul segelintir jemaah adalah mesti mencari dan memeluk tiang jin dengan kepercayaan boleh memanjangkan umur. Ada juga yang memasang niat mendapatkan toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara mengadap tiang tersebut untuk dibawa balik toyol tersebut sebagai khadam. Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik bagi pelbagai kepercayaan seperti jika dicampak di dalam perigi ikan, maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman, maka buah-buahan akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai, maka akan laris kedai tersebut.

Selain itu, kewujudan media sosial seperti Tik Tok, Instagram, Facebook dan lain-lain mampu menghilangkan fokus dan khusyuk dalam melakukan ibadah. Penggunaan media sosial yang berlebihan seperti membuat content dan live mampu mengalihkan perhatian niat asal ibadah yang sepatutnya menjadi fokus utama. Walaupun hukum asalnya adalah harus, namun dengan content ini dikhuatiri boleh menimbulkan sifat riya’ dalam beribadah. Kita akui bahawa kandungan media sosial juga boleh digunakan sebagai medium untuk berdakwah dan memberi pendidikan tentang pengertian dan kepentingan haji. Namun, penggunaan media sosial ini hendaklah mempunyai limitasi supaya tidak mengganggu niat utama dalam melakukan amal ibadah.

Tambahan pula, menunaikan ibadah Haji dengan pelbagai niat boleh mendatangkan impak negatif, baik kepada diri sendiri mahupun agama Islam keseluruhannya. Mempunyai pelbagai niat yang tidak selari dengan tujuan asal boleh mengakibatkan kurang fokus dalam ibadah.

Bersama kita doakan semoga Jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan mereka seterusnya mendapat haji yang mabrur. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga.” (Hadis Riwayat Ahmad). Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button