Tinta Setiausaha MAIS

MEMBINA UMMAH MEMBINA UMMAH SEJAHTERA

Membina ummah sejahtera. Allah SWT berfirman: “Dan hendaklah kamu berlumba-lumba melakukan kebaikan.” (Surah Al-Baqarah: 148)

YBhg. Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini
Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Inilah seruan yang menggerakkan perjuangan umat Islam dan bukan hanya sekadar beribadah secara individu, tetapi membina kebaikan yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat dan generasi masa hadapan. Seruan ini menjadi asas kepada usaha membina legasi ummah yang bukan sahaja kukuh dari sudut ibadah, tetapi juga mampan dari segi sosial, ekonomi dan tadbir urus.

Berlandaskan kepercayaan tersebut, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperkenalkan Hala Tuju Kelestarian Hal Ehwal Islam 2025–2030 sebagai kerangka strategik pembangunan ummah. Hala tuju ini digerakkan melalui enam teras utama iaitu Perundangan dan Kehakiman Syariah; Zakat, Wakaf dan Sumber Am; Pendidikan, Aqidah, Dakwah dan Kekeluargaan; Masjid, Surau dan Pembangunan Ummah; Kebajikan dan Ekonomi Ummah; serta Tadbir Urus dan Kecemerlangan Organisasi.

Pendekatan menyeluruh ini memastikan pembangunan ummah berlaku secara seimbang antara rohani, sosial dan ekonomi.

Menjelang bulan Ramadhan yang mulia, MAIS turut menyeru masyarakat Islam agar menunaikan fidyah. Sehingga Oktober 2025 sejumlah 78 ribu pembayar telah menunaikan bayaran fidyah dan peruntukan ini disalurkan dengan membantu ribuan keluarga fakir dan miskin bagi menampung keperluan makanan dan bantuan asas.

Membayar fidyah bukan sahaja melengkapkan tuntutan ibadah, malah menyumbang kepada ekosistem kebajikan ummah.

Selain itu, MAIS ingin menekankan kepentingan pengurusan harta pusaka dan perancangan harta patuh Syariah. Di peringkat nasional, nilai harta pusaka beku mencecah ratusan bilion ringgit akibat kelewatan pengurusan dan pertikaian waris. Perancangan awal mampu mengelakkan konflik keluarga serta memastikan harta dimanfaatkan untuk kebajikan dan pembangunan ummah.

Di peringkat organisasi, MAIS komited membudayakan prestasi tinggi, integriti dan ketelusan agar setiap ringgit amanah masyarakat memberi pulangan sosial yang maksimum. Antaranya sehingga Okt 2025 sejumlah 1,671 pelatih mengikuti program pemulihan, sejumlah 418 asnaf riqab diaantun dan lain-lain. Pada masa yang sama, MAIS terus memperkukuh keterlihatan sebagai institusi yang menyantuni masyarakat melalui kehadiran aktif di masjid, komuniti dan lapangan perkhidmatan.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAIS, saya mengajak seluruh masyarakat Islam Selangor untuk bersama-sama membina legasi ummah yang kukuh akidahnya, mampan ekonominya dan sejahtera kehidupannya. Dengan kesatuan usaha dan keikhlasan niat, insya Allah kita mampu mewariskan kebaikan yang berterusan kepada generasi akan datang. Edisi

Back to top button