Fokus

Isu Muallaf: Benarkah Terpinggir?

Bergelar saudara baharu bukanlah mudah. Ada yang terpaksa merahsiakan identiti sebagai seorang Islam bagi menjaga perasaan ahli keluarga, mengelakkan diri daripada dibuang keluarga serta dipulau sanak saudara mahupun rakanrakan dan tinggal sehelai sepinggang.” Johari Yap, Sinar Harian (19 Mei 2019).

Demikian secebis komen seorang muallaf. Hakikatnya, menjadi muallaf bukan mudah. Apa lagi bagi mereka yang status sosio-ekonominya rendah dan tidak berpendidikan tinggi. Cabaran yang berliku sedang menanti. Di satu sisi, mereka menghadapi isu penolakan dari ‘dunia’ sebelum Islam. Di satu sisi lagi, mereka berdepan dilema ‘penerimaan’ umat Islam kepada mereka?

Ingat, bukan senang bagi mereka meninggalkan kebiasaan lama yang mungkin bercanggah total dengan agama Islam. Sebelum Islam, hidup adalah tanpa sekatan. Kini, makan minum yang haram perlu dijauhkan. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan menjadi larangan. Muamalah riba, judi, kelab malam dan sebagainya perlu dihindarkan.

Bukan mudah juga bagi mereka untuk mengamalkan kebiasaan baharu yang dahulunya tidak pernah dilakukan. Menutup aurat khasnya bagi perempuan, panas dan
mengekang. Wajib solat lima kali sehari semalam. Zakat diberi dari harta yang dicari. Wajib berpuasa sebulan Ramadhan. Jual beli ada tatacara syariah yang wajib dijaga. Pendeknya, semua perlu dibuat ‘allignment’ semula.

Sejarah pula menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW amat meraikan para muallaf ini. Baginda memberikan hadiah kepada mereka, dan zakat adalah satu keutamaan buat mereka. Akhirnya, mereka merasa begitu selamat setelah memeluk Islam. Tiada langsung kalimah penyesalan. Malah, ia menjadi alat untuk menarik orang lain kepada Islam.

Namun begitu, menyorot kepada isu-isu semasa muallaf di negara kita khususnya yang menyentuh negeri Selangor, kadang-kadang terasa sesak di dada. Hampir saban waktu, kita dihadapkan dengan isu muallaf. Isu perebutan anak, isu perebutan jenazah muallaf, isu muallaf merempat kerana dipinggirkan, isu muallaf terjebak dengan kes dadah dan sebagainya lagi.

Dalam isu perebutan anak di antara pasangan suami isteri muallaf dan bukan Islam, sering anak-anak menjadi mangsa. Isu ini juga sering dilihat menjadi hambatan kepada kelestarian agama anak-anak, lantaran kewujudan dwisistem perundangan antara syariah dan sivil sering dijadikan alasan menafikan keislaman mereka.

Sepanjang lipatan peristiwa, bukan sekali dua isu ini memijar dan jika tersalah langkah boleh menyulut api perkelahian. Maka, bagaimanakah kita perlu menanggapinya? Adakah cukup dengan hanya memanjatkan doa dan berpuas hati dengan memuatkan hantaran mengkritik itu dan ini di media sosial? Demikian jugalah isu perebutan jenazah muallaf, bukan sekali dua ia mencuri perhatian. Malah, ada kes-kes terpencil jenazah muslim diselenggara secara bukan Islam lantaran kegagalan aspek teknikal semata-mata, misalnya tidak didaftarkan keislamannya dan kegagalan dia menyimpan kad pendafataran muallaf dengan baik.

Jangan dilupa isu-isu sinis, kononnya golongan muallaf ini sengaja memilih Islam untuk meraih pelbagai kelebihan dan keistimewaan. Adakalanya ia benar, namun ia tidak boleh disamaratakan kepada semua muallaf. Malah jika benar sekali pun, apakah hak kita untuk menghukum mereka. Iman di sebalik lafaz syahadah adalah benda yang tersimpan di sudut hati. Kita tidak berkuasa menghukum benda yang tersembunyi.

Lantaran pelbagai isu itulah, Edisi pada kali ini tampil dengan pelbagai pendedahan demi merungkai persoalan. Isu tetap isu. Namun apa yang lebih utama, bagaimana isu dirungkai dan menjadi satu penyelesaian. Selamat membaca

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button