Viral Kini

HINDARI TREND IBADAH VIRAL

Kisah viral berkaitan kepayahan asnaf fakir dan miskin tidak mendapat agihan zakat acap kali
berulang. Suatu ketika dahulu pernah diviralkan kisah seorang asnaf yang ingin mendapatkan duit bantuan lalu memohon di gereja dengan menulis nama pada sekeping borang dan paderi tersebut memberi wang bantuan. Ibaratnya sangat mudah untuk mendapat bantuan kewangan berbanding permohonan di pusat zakat yang banyak karenah birokrasi. Hakikatnya apabila membuat siasatan dan semakan, berita tersebut hanya sekadar khabar angin sahaja seolah-olah ingin memburukkan imej institusi zakat.

Oleh

Shahrul Effendy bin Md Saat (fendy@mais.gov.my)
Eksekutif Perhubungan Awam & Khidmat Pelanggan MAIS

Perkongsian tersebut akan mendapat perhatian warga media sosial yang lain serta mendapat tanda like sebelum ia ditularkan dengan perkongsian yang tinggi. Perkara ini secara langsung menaikkan populariti dan membuatkan mereka terkenal dan mendapat perhatian yang meluas, mendedahkan diri kepada unsur riak, sombong, ego, bangga diri dan takabur.

Keadaan ini menjadi semakin membimbangkan dari masa ke semasa apabila ia turut diikuti oleh para pempengaruh yang memiliki pengikut yang ramai serta para agamawan. Ibadah tersebut jika dikongsikan oleh pihak lain dan menjadi viral, ia boleh diterima, namun individu yang memuatnaik ibadat diri sendiri dengan niat viral adalah satu masalah. Ibadat khusus seperti solat, haji, zakat, umrah, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya sedaya upaya tidak perlu diviralkan kerana dibimbangi ibadah tersebut tidak diterima oleh Allah SWT.

Contoh Ibadat viral yang terdapat dalam haji dan umrah seperti mencium hajarul aswad, live ketika tawaf dan saie, yang sepatutnya dilaksanakan secara khusyuk dan memperbanyakkan mengingati Allah SWT sepanjang ibadat berlangsung. Namun, sebaliknya ramai yang cenderung menularkannya kepada umum, perkara ini mendapat perhatian daripada pihak berautoriti seperti respons dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2023), yang berpendapat melakukan aksi viral seperti di atas sebaiknya ditinggalkan.

Perkara tersebut dapat menjejaskan niat utama ibadah itu sendiri yang akhirnya merugikan pahala amalan serta memalingkan hati daripada Allah SWT, akhirnya membawa kepada kerugian dunia mahupun akhirat. Nabi SAW bersabda “Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalannya” (al-Thabarani, 5942) dan “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat” (alBukhari, 1).

Ibadah Berbalut Hiburan

Islam ialah agama yang sesuai dengan fitrah. Fitrah manusia perlukan hiburan dalam kehidupan. Hiburan ialah sesuatu yang boleh menggembirakan hati, merehatkan minda, menyenangkan jiwa dan menyedapkan pendengaran. Pendek kata, apa-apa perkara dan tindakan yang boleh menimbulkan perasaan suka gembira, seronok dan tenang ia merupakan suatu hiburan.

Islam tidak menyekat umatnya mencari hiburan selagi mana tidak keluar daripada batas syarak dan tidak lalai daripada melaksanakan perintah agama. Kesederhanaan sangat penting dalam usaha mencari hiburan.

Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya bertajuk ‘al-Halal wa al-Haram fi al-Islam’ dengan penterjemah Mohd Hafiz Daud menyatakan bahawa hiburan adalah diharuskan kerana boleh menggembirakan hati, merehatkan minda, menyenangkan jiwa dan menyedapkan pendengaran dengan syarat tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh menimbulkan perbuatan dosa.

Sehubungan itu, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil.2/2015 yang bersidang pada 7 April 2015 bersamaan 17 Jumadal Akhirah 1436H memutuskan bahawa;

“Memperakukan Garis Panduan Hiburan dalam Islam edisi kedua yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)”
– Dikemaskini pada 26 September 2014.

Kesimpulannya umat Islam hendaklah sentiasa merujuk kepada pandangan dari Jabatan Mufti Negeri Selangor dan agensi agama yang terlibat di negeri-negeri terutama hiburan yang dibenarkan dalam Islam selagi mana ia tidak melanggar batas syarak. Selain itu bagi perbuatan mengambil gambar beribadah kemudian ditunjukkan di media sosial itu bertujuan mendapat pujian dan menunjuk-nunjuk maka perbuatannya itu adalahharam dan amalannya itu sia-sia tidak mendapat pahala kerana telah melakukan riak. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button