Kemelut sosial yang berlaku, menyaksikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) perlu lebih siaga menyediakan wahana demi keperluan ummah. Mari kita telusuri komitmen MAIS dan LZS dalam mendepani ‘Hijrah Sosial’ ini.
- BAITUL MAWADDAH
Ditubuhkan untuk memberi perlindungan, pengawasan, pemulihan dan pembangunan diri yang berkesan kepada warga emas yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin yang tidak terbela di Selangor demi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.
- BAITUL HASANAH
Ditubuhkan pada tahun 2006 dan merupakan inisiatif bagi membantu anak-anak asnaf fakir miskin berjaya dalam pelajaran dengan menyediakan suasana yang kondusif untuk mereka belajar dan dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam sahsiah akademik dan ko kurikulum.
- BAITUL SALAM
Merupakan tempat perlindungan sementara bagi asnaf muallaf dan bertindak sebagai pusat komuniti muallaf bagi menyusun semula hala tuju mereka setelah memeluk Islam atau ketika ditimpa musibah, agar dapat menyantuni kebajikan mereka dan lebih utama, memelihara aqidah mereka dari dipesongkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
- BAITUL IMAN
Merupakan pusat pemurnian akidah yang menyediakan perlindungan, bimbingan, pemulihan, rawatan spiritual Islam (Modul Istitabah) dan kaunseling kepada individu dan kumpulan umat Islam yang memerlukan. Golongan yang terjebak dengan penyelewengan akidah dipulihkan di sini.
- BAITUL HIKMAH
Menyediakan fasiliti latihan yang kondusif bagi membangunkan aspek spiritual, kemahiran dan pembangunan pendidikan khususnya ilmu fardu ain kepada golongan muallaf.
- BAITUL EHSAN
Memberikan perkhidmatan berbentuk perlindungan, pemulihan, kaunseling dan latihan yang dinamik terhadap wanita yang terlibat dalam salah laku sosial atau penyimpangan akhlak.
- BAITUL ISLAH
Merupakan sebuah pusat yang menempatkan penagih dadah tegar dan juga penghidap HIV dan dikendalikan dengan kerjasama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Info lanjut mengenai intitusi-institusi di atas boleh diperolehi dengan menghubungi:
Divisyen Pembangunan Asnaf, LZS di talian 1300884343 atau Pusat Pemulihan ar-Riqab, MAIS di talian 03-55143400.