Man Jadda Wa Jada

Faizal@Ghazi Kongsi Rahsia 20 Tahun Menyayangi Anak Yatim

Betapa pentingnya menyayangi dan melindungi anak-anak yatim, maka Allah SWT telah berjanji untuk memberi ganjaran yang amat besar kepada sesiapa sahaja yang menyantuni mereka.

Oleh

Shahrul Effendy bin Md Saat (fendy@mais.gov.my)
Eksekutif Perhubungan Awam & Khidmat Pelanggan MAIS

Dalam Al-Quran jelas menegaskan bahawa, betapa pentingnya anak-anak yatim dipelihara yang maksudnya, “Mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: Memperbaiki keadaan mereka adalah baik.” (Al-Baqarah:220) Menceritakan disebalik rahsia 20 tahun menyayangi anak yatim, Faizal@Ghazi Yeslam, Timbalan Pengerusi atau Pengurus Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah berkata, beliau amat menyayangi anak-anak yatim kerana apabila kita menyantuni mereka, kita akan mendapat ganjaran yang baik dari Allah SWT.

“Alhamdulillah,selama 20 tahun, saya hidup dengan membantu anak-anak yatim, betapa mereka memerlukan perhatian dan bimbingan tanpa orang tua mereka.

“Terasa hidup tenang, walaupun pelbagai karenah anak-anak yatim yang perlu dilalui, ianya tidak menjadi masalah untuk kita hadapi dengan hati yang ikhlas,”katanya.

Ketika ditanya, apakah rahsia menyayangi anak-anak yatim sehingga tertubuhnya Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Faizal@Ghazi memberitahu, setiap orang perlu ada minat dan tanggungjawab dalam setiap perkara termasuk bersikap ikhlas dalam setiap perbuatan terutama dalam menyantuni anak-anak yatim.
“Semangat untuk menjayakan amal jariah, sekurang kurangnya bila kita menyumbang kepada anak-anak yatim ni, tuhan gandakan kita rezeki yang sedikit sebanyak kita tak nampak rezeki tu. “Rezeki datang dengan pelbagai cara yang kita tak nampak apabila menyantuni anak yatim seperti rezeki kesihatan yang baik, hidup kita tenang tanpa masalah yang datang dan setiap perkara yang kita buat, insyaAllah dipermudahkan urusan,”katanya.

Sejaarah Penubuhan:
Penubuhan Rumah Kebajikan Anak Yatim & Miskin Al-Munirah telah diilhamkan oleh Pengerusinya iaitu Haji Mohd Termizi bin Ismail dan direalisasikan oleh beliau sendiri melalui persetujuan sahabat serta dorongan penduduk Kampung Johan Setia yang bersedia menyumbang tenaga dan fikiran sebagai sukarelawan bagi menjayakan penubuhan rumah anak yatim

Sebagai langkah pertama, beliau telah menganjurkan perjumpaan pertama pada 8 Januari 2002 dengan dihadiri seramai 18 orang jawatankuasa penaja. Pada tarikh tersebut, telah tertubuh secara rasmi Jawatankuasa Penaja Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah dengan dipengerusikan sendiri oleh Haji
Mohd Termizi. Jawatankuasa Penaja ini berperanan untuk mencari dana bagi membeli tapak tanah untuk didirikan sebuah bangunan kediaman bagi menempatkan anak-anak yatim dan sebagai pusat operasi Rumah Kebajikan Anak Yatim & Miskin Al-Munirah. Hasil usaha gigih selama hampir setahun, Ahli Jawatankuasa Penaja akhirnya telah berjaya mengumpul dana berjumlah RM450,000.00 bagi membeli sebidang tanah (1.0165 ekar) untuk dijadikan tapak bangunan di Kampung Johan Setia.

Setelah segala urusan pembelian tanah selesai, Ahli Jawatankuasa Penaja dan Ahli Persatuan yang lain turut meneruskan usaha mencari dana lagi bagi menjayakan rancangan sehingga tertubuhnya rumah kediaman dan pusat operasi Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah.

Berdaftar di Bawah IDE

Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah merupakan salah satu rumah kebajikan anak yatim yang berdaftar di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

YIDE merupakan anak syarikat di bawah seliaan MAIS yang bertanggungjawab dalam pengurusan hal ehwal anak yatim, pengurusan sumbangan musibah dan perkhidmatan hemodialisiskepada masyarakat Islam di Negeri Selangor.
MAIS memperuntukkan dana RM500,000.00 setahun bagi menyantuni kebajikan anak-anak yatim terutama di Negeri Selangor. Dana sumbangan diberikan menerusi peruntukan Baitulmal MAIS kepada YIDE yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak-anak yatim sekitar Selangor.

Sebagai sebuah agensi Islam yang bertanggungjawab dalam menyantuni anak yatim, MAIS sentiasa memberi sokongan kepada YIDE dalam menyantuni anak yatim. Semoga YIDE terus maju dalam memelihara kebajikan dan hal ehwal pengurusan anak yatim di Negeri Selangor. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button