Artikel Khas

BOLEH KE NON MUSLIM BERWAKAF?

Wakaf dari segi bahasa bermaksud “سبحلا” iaitu menahan. Dari segi istilah syara’, wakaf bermaksud menahan sesuatu harta yang tidak berkurang fizikalnya serta boleh digunakan dan diambil manfaat darinya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang wujud dan harus menggunakannya.

Amalan mewakafkan harta merupakan satu amalan mulia yang sangat digalakkan dalam Islam. Wakaf termasuk salah satu daripada bentuk sedekah jariah yang berkekalan ganjarannya walaupun selepas kematian seseorang itu. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

Maksudnya: “Apabila seseorang itu meninggal dunia, terputuslah amalan daripadanya melainkan tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya”.

Sedekah jariah yang disebutkan di dalam hadis di atas merujuk kepada wakaf kerana ia memberi manfaat yang berterusan kepada orang ramai, sedangkan sedekah biasa yang lain kebanyakannya hanya terhad manfaatnya kepada individu tertentu yang menerima sedekah sahaja.

NON MUSLIM BERWAKAF?

Hukum menerima harta wakaf daripada Non Muslim adalah dibolehkan dan sah penerimaan tersebut. Hal ini termasuklah wakaf yang diberikan kepada masjid-masjid walaupun perbuatan tersebut bukan berniat mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT.

Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadis daripada Anas bin Malik R.A, daripada Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Allah tidak akan mengabaikan kebaikan seorang mukmin, dia akan diberi ganjaran di dunia dan juga di akhirat. Orang kafir pula akan menerima ganjaran kebaikan yang mereka lakukan kerana Allah semasa di dunia sahaja. Adapun di akhirat kelak, tiada apa-apa habuan dan ganjaran kebaikan untuknya.”

Berdasarkan kepada hadis di atas, seorang Non Muslim akan mendapat ganjaran di dunia sesuai dengan wakaf atau kebaikan yang dilakukan tersebut. Namun begitu, dia tidak akan beroleh apa-apa kebaikan atau pahala di akhirat kelak.

Dalam kempen indahnya berwakaf yang dilaksanakan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terdapat juga individu Non Muslim melaksanakan wakaf tunai melalui potongan gaji dan juga beberapa platform dalam talian yang disediakan.

Setiap wakaf tunai yang disalurkan melalui Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), akan dikembangkan melalui pelaburan patuh syariah dan juga akan diagihkan kepada institusi yang memerlukan seperti sekolah, surau, masjid, hospital, klinik kesihatan, rumah anak yatim dan lain-lain lagi dalam bentuk wakaf fisabillah bagi tujuan bantuan berupa aset kekal bagi jangka hayat melebihi 5 tahun.

Mengambil contoh mewakafkan harta yang boleh dimanfaatkan oleh semua tanpa mengira agama seperti mewakafkan tempat untuk proses pembelajaran, mewakafkan mesin hemodialisis, tempat berteduh dan lain-lain, maka ia merupakan suatu yang baik untuk dilakukan, dan secara tidak langsung masyarakat Non Muslim menarik minat untuk berwakaf.

Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) adalah agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah diamanahkan untuk menguruskan hal ehwal wakaf di dalam negeri Selangor ini. Pada 30 Oktober 2009, DYMM Sultan Selangor menitahkan MAIS menubuhkan PWS supaya pengurusan wakaf di Selangor dapat diperkasakan seperti pengurusan zakat. Mesyuarat MAIS Bil. 3/2010 yang bersidang pada 29 Jun 2010 bersetuju menubuhkan PWS di bawah peruntukan Seksyen 8, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button