Fiqh Kontemporari

Abai Ilmu Demi Glamour

Baru-baru ini, kita didedahkan dengan data yang dibentangkan oleh Menteri Pendidikan, YB. Puan Fadhlina Sidek yang memaklumkan seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan SPM sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak menyambung pengajian ke universiti atau kolej. Daripada jumlah berkenaan, mereka membuat pilihan untuk terus bekerja, termasuk antaranya, menjadikan infuencer (pempengaruh) sebagai kerjaya pilihan.

Oleh

Mohamad Shukry Bin Sulaiman (shukry@muftiselangor.gov.my)
Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Negeri Selangor

Kehidupan mewah dan kerjaya yang glamour dipercayai antara penyebab ramai anak muda, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terpukau dengan karier sebagai pempengaruh sehingga sanggup mengetepikan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Hakikatnya, dunia glamour awangan yang kebelakangan ini dilihat menjadi dambaan ramai remaja belasan tahun, hakikatnya tidak dapat menjamin masa depan mereka dengan lebih cemerlang. Pada masa sama, keputusan golongan pelapis modal insan ini di lihat boleh mendatangkan risiko kepada memegang negara kekurangan tenaga kerja berkemahiran dan profesional kepada negara pada masa akan datang.

Tidak dapat disangkal, gaya hidup mewah yang ditonjolkan oleh pempengaruh menerusi akaun media sosial mereka merupakan antara faktor golongan remaja lepasan sekolah ini terbabit ingin menceburi bidang glamouran ini. Siapa yang tidak mahu dalam sekelip mata sahaja mampu menjana pendapatan mewah. Sudah pasti kemunculan kelompok ini di khalayak akan menjadi tumpuan bualan ramai. Sewajarnya perkara ini signifkan diberi tumpuan oleh pelbagai pihak kerana terdapat salah tanggap di kalangan kelompok ini bahawa dunia glamour akan kekal dan mampu menjana kekayaan segera seperti yang diimpikan.

Bagi mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dianggap sebagai perkara biasa dan segulung ijazah bukan jaminan mendapat pekerjaan yang baik.

Selain itu, pernyataan kalangan generasi muda juga berkumandang bahawa proses pembelajaran itu sendiri bukan satu proses yang menyeronokkan selain menyedari lulus SPM ataupun universiti tidak menjamin mereka mendapat pekerjaan yang setimpal.

Faktor persekitaran, iaitu apabila banyak peluang pekerjaan seperti e-panggilan, pempengaruh yang digambarkan sebagai menjana pendapatan yang banyak, membuatkan mereka terpengaruh untuk turut menyertai bidang tersebut.

Dunia sentiasa berubah dari semasa ke semasa tetapi dengan ilmu, semua orang mampu pergi jauh dalam kerjaya. Mungkin suatu hari nanti orang tidak melihat YouTube, Instagram, Tik Tok dan semua perkara digital lainnya. Dan apabila segala-galanya berubah, mereka akan kehilangan pekerjaan mereka. Faktor usia juga boleh memamah dunia glamour yang mereka kecapi. Mungkin mereka boleh jadikan kerjaya infuencer sebagai minat dan mendapatkan pendapatan sampingan.

Adalah sangat perlu pempengaruh remaja ini jangan merosakkan imej islam dan terus hanyut dalam dunia glamor apatah lagi cuba melawan perintah Allah. Berhati hatilah saat dunia sementara ini, nikmat kecantikkan, kemashyuran, atau dunia glamour ini hanyalah bersifat sementara sahaja.

Jika kalian merasa hebat dengan kemashyuran kalian, tidak kemana pun kemashyuran saat nyawa di kerongkongan itu!! Allah tidak pernah menganugerah ketenangan dan kebahagian dari kemaksiatan.

KELEBIHAN MEMILIKI ILMU

Al Imam Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.
(Riwayat Muslim)

Di dalam hadith ini mengandungi pelbagai jenis ilmu, kaedah-kaedah dan adab-adab. Antaranya menceritakan akan kelebihan menuntut ilmu dan sentiasa sibuk dengan ilmu syar’ie dengan syarat niatnya adalah kerana Allah SWT.

Begitu juga banyak lagi hadith-hadith lain yang menceritakan akan kelebihan orang-orang yang menuntut ilmu. Tambahan pula, kita perlulah sentiasa membetulkan niat kita dalam setiap perkara yang kita lakukan di atas dunia ini terutamanya kalangan remaja.

Firman Allah SWT
Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

Tambahan, dengan masyarakat yang berilmu, ia melahirkan individu yang berdaya saing, mampu memimpin manusia kepada kebenaran, mendekatkan masyarakat kepada kebaikan, merealisasikan kemaslahatan dan mencegah kerosakan serta mewujudkan masyarakat yang bertamadun sepertimana zaman kegemilangan Islam terdahulu.

Marilah kita semua bangkit dan berlumba-lumba untuk mendapatkan ilmu. Walaupun kita sudah tamat pengajian tapi mencari ilmu jangan kita berhenti begitu sahaja terutamanya mendalami ilmu agama dan juga ilmu keduniaan. Apa yang penting ialah tanggungjawab kita ialah menuntut ilmu sehabis-habisnya. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button