Anak TAK SAH Taraf

Alhamdulillah kita dapat bertemu kembali dalam EDISI MAIS keluaran Bil. 2/2025, pada keluaran kali ini saya ingin berkongsi tajuk, “Anak Tak Sah Taraf”
Nasab
Nasab merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan berkeluarga. Ia adalah nikmat agung yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Memelihara nasab adalah salah satu daripada Maqasid al-Syariah yang lima iaitu hifzu al-nasl (memelihara keturunan). Para fuqaha telah menetapkan bahawa bayi yang lahir selepas enam bulan dua lahzah dari tarikh persetubuhan suami isteri maka adalah dibolehkan untuk anak tersebut dinasabkan kepada suami wanita tersebut.
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 Menurut Seksyen 2, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 tafsiran “anak tak sah taraf” adalah anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan dari persetubuhan syubhah. Tafsiran ini juga selari dengan Fatwa Kebangsaan dan Fatwa Negeri Selangor. Dalam isu pengesahtarafan anak ini, kedua-dua fatwa ini mengambil pandangan Mazhab Syafie demi maslahah umat Islam sejagat. Kedua-dua fatwa tersebut juga menjelaskan takrifan anak tak sah taraf dengan jelas iaitu anak yang lahir kurang dari enam bulan dua lahzah mengikut takwim qamariah daripada tarikh tamkin tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menghamilkan wanita itu.
Definisi Anak Tidak Sah Taraf
Kelahiran anak tidak sah taraf merujuk kepada kelahiran seorang anak hasil daripada hubungan di luar ikatan perkahwinan yang sah menurut undang-undang dan hukum syarak (Islam). Di Malaysia, perkara ini mempunyai implikasi dari sudut undang undang sivil dan syariah, dan juga boleh memberi kesan kepada pendaftaran kelahiran, penjagaan, dan hak-hak tertentu anak tersebut.
Pendaftaran Kelahiran di JPN (Jabatan Pendaftaran Negara)
Anak tidak sah taraf tetap didaftarkan, tetapi;
- Nama Bapa: tidak boleh dimasukkan dalam sijil kelahiran jika tiada bukti sah perkahwinan.
- Nama anak: Akan menggunakan bin atau binti Abdullah mengikut hukum syarak (bagi orang Islam).
- Nama Ibu: boleh dimasukkan tanpa sebarang masalah.
Penutup
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sentiasa berperanan membantu masyarakat dalam isu-isu perundangan. Justeru Unit Guaman Syarie (UGS) MAIS menawarkan perkhidmatan khidmat guaman secara percuma kepada masyarakat Islam yang memerlukan bantuan. Manfaatkanlah majalah EDISI MAIS ini sebagai wadah ilmu yang bermanfaat dan menjadi asbab kebaikan buat semua. Edisi