Kenali Masjid Di SelangorNGOi

MASJID WAKAF KHAS; TERIMA KASIH PEWAKAF

Masjid merupakan bangunan yang paling penting sebagai mercu tanda agama Islam kerana ia tempat ibadat yang menjadi rukun Islam kedua iaitu solat dianggap sebagai tiang seri agama. Justeru, masjid merupakan wakaf bagi Allah yang tidak dimiliki oleh sesiapapun. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata.

Rasulullah SAW telah mendirikan masjid Quba’ ketika sampai di Quba’ dalam perjalanan hijrahnya. Kemudian selepas sampai di kota Madinah Rasulullah SAW juga telah mendirikan masjid yang dikenali sebagai masjid Nabawi sehingga menjadi tempat kesatuan umat dan juga memperkukuhkan ukhuwah Islamiyyah di samping mercu tanda tamadun Islam.

Masjid adalah tempat bagi umat Islam beribadah. Menekuni kembali sejarah Islam pada masa lampau, masjid adalah pusat komuniti masyarakat dan bandar-bandar dibentuk mengelilingi masjid ini. Kini, masjid terutamanya di negara-negara umat Islam boleh dijumpai di mana-mana, memudahkan umat Islam untuk menunaikan solat lima waktu. Masjid di dunia Barat pada zaman sekarang menerapkan konsep pusat integrasi yang turut mempunyai pusat pengajian, kemudahan komuniti selain untuk beribadah.

Dalam Negeri Selangor terdapat 428 buah Masjid di Negeri Selangor. Terdapat tujuh kategori masjid iaitu Masjid Negeri, Masjid Diraja, Masjid Daerah, Masjid Jamek, Masjid Naik Taraf, Masjid Kariah dan Masjid Institusi.

Menjadi kelaziman di Negeri Selangor ini masjid-masjid yang telah siap pembinaannya akan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj. Pada bulan Ramadhan 1446H terdapat 7 buah masjid yang bakal dirasmikan dan antaranya adalah Masjid-masjid yang dibangunkan menggunakan dana wakaf khas sama ada daripada orang ramai, ahli kariah, syarikat swasta dan juga syarikat korporat.

Senarai masjid yang akan dirasmikan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj;

1. Masjid Kg. Seri Kedah, Tali Air 8 Ban 3, Sekinchan
2. Masjid Al Ehsan, Tanjong Sepat
3. Masjid Sentosa, Sepang.
4. Masjid Bandar Teknologi Kajang, Semenyih
5. Masjid Kampung Klang Gate Baru, Ulu Klang.
6. Masjid Bandar Bukit Raja, Klang.
7. Masjid Denai Alam, Shah Alam

Antara Masjid yang menggunakan dana wakaf khas adalah;

Masjid Sentosa, Sepang yang telah siap dibina dengan kos sebanyak RM 9 Juta dengan kemampuan kapasiti seramai 2,000 jemaah. Manakala Masjid Bandar Bukit Raja, Klang dibina dengan kos sebanyak RM 9 Juta dan kemampuan kapasiti seramai 1,850 jemaah.

Manakala Masjid Denai Alam, Shah Alam dibina dengan kos sebanyak RM 25 Juta dan kemampuan kapasiti seramai 5,000 jemaah.

Terima kasih kepada semua pewakaf yang telah melazimkan ibadah wakaf di Perbadanan Wakaf Selangor, dan Alhamdulillah Rumah Allah telah berdiri dengan indahnya menggunakan setiap sen dana wakaf yang telah diwakafkan.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesiapa yang membina sebuah masjid kerana Allah, sama ada kecil atau besar, pastilah Allah akan membina untuknya sebuah rumah (istana) di syurga”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) adalah agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah diamanahkan untuk menguruskan hal ehwal wakaf di dalam Negeri Selangor ini. Pada 30 Oktober 2009, DYMM Sultan Selangor menitahkan MAIS menubuhkan PWS supaya pengurusan wakaf di Selangor dapat diperkasakan seperti pengurusan zakat. Mesyuarat MAIS Bil. 3/2010 yang bersidang pada 29 Jun 2010 bersetuju menubuhkan PWS di bawah peruntukan Seksyen 8, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button