Artikel Khas

KETAGIH SESAT…

Ajaran sesat merupakan ancaman dalam masyarakat Islam yang wujud hingga ke hari ini. Meskipun pelbagai usaha telah dijalankan untuk membanterasnya, namun saban waktu masih timbul pelbagai jenama baru dan modus operandinya.. Persoalan timbul mengapa ia masih berlaku, termasuk dalam kalangan mereka yang telah bertaubat. Faktor utama adalah kejahilan masyarakat dalam menguasai ilmu agama Islam. Kejahilan seseorang dapat dikesan apabila jiwa seseorang itu kosong daripada nilai-nilai kerohanian berpunca dari kejahilan mendalami ilmu-ilmu agama.

Oleh

Ustaz Mohamad Shukry bin Sulaiman (shukry@muftiselangor.gov.my)
Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Negeri Selangor

Faktor kelemahan seseorang dalam memahami agama, pengaruh persekitaran, dan kepintaran pemimpin ajaran sesat memanipulasi juga menyumbang kepada keberlangsungan perkara ini terus berlaku. Individu yang cetek pengetahuannya dalam bidang asas agama seperti akidah, fiqh, dan tafsir Al-Quran mudah menjadi mangsa kepada ajaran sesat. Kekurangan ilmu agama menjadikan mereka sukar membezakan antara ajaran Islam yang sebenar dan ajaran yang menyimpang. Menyelewengkan tafsiran ayat al-Quran dan hadis dari kutub ilmu sering digunakan oleh pemimpin ajaran sesat untuk memanipulasi pengikut mereka. Pengikut pula kebanyakannya mudah terpengaruh dan menerima ajaran yang lebih mudah di samping menjanjikan kebahagiaan lebih cepat atau kedudukan istimewa di akhirat, yang sukar untuk ditolak oleh individu yang lemah daripada segi rohani.

Sebahagian pengikut ajaran sesat pula masih sukar untuk melepaskan diri daripada pengaruh pemimpin mereka. Hal ini disebabkan oleh karisma dan kebolehan pemimpin tersebut yang mampu mempengaruhi emosi pengikut dengan begitu mendalam, sehingga mencetuskan rasa kebergantungan yang kuat. Dalam sesetengah kes, pemimpin ajaran sesat menggunakan ugutan fizikal atau spiritual, seperti ancaman kemurkaan Tuhan atau dosa besar, bagi mengekalkan kawalan ke atas pengikut, termasuk mereka yang berhasrat untuk keluar daripada ajaran tersebut.

Di samping itu, ada juga yang masih bergantung ehsan pada ajaran tersebut kerana ia pernah menjadi watak penting dalam sesuatu kumpulan. Selepas bertaubat, mereka sering berdepan dengan cabaran emosi dan sosial, seperti kehilangan rakan taulan , diboikot ahli keluarga dan sebagainya. Kekosongan jiwa ini, jika tidak diisi dengan bimbingan dan sokongan yang sewajarnya, bingkas membuka ruang untuk mereka kembali terjebak dalam amalan lama.

Faktor lain adalah tiada keikhlasan sepenuhnya untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Dalam beberapa kes, kehadiran mereka dalam majlis taubat dilakukan semata-mata kerana takutkan hukuman duniawi dan menutupi pihak berkuasa agama. Taubat tanpa disertai niat yang tulus dan usaha kembali kepada hakikat aqidah sebenar mengakibatkan individu kembali kepada sarang kesesatan.

Oleh itu, pendekatan yang lebih komprehensif, termasuk pendidikan agama, sokongan psikologi, dan bimbingan spiritual yang berterusan, diperlukan untuk membendung isu ini. Hanya dengan usaha kolektif masyarakat dan institusi agama, fenomena ajaran sesat dapat ditangani secara efektif dan berkesan.

Kepada masyarat yang mempunyai kemusykilan berkaitan soal jawab agama hukum boleh terus mengajukan soalan melalui laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) https://www.muftiselangor.gov.my/. Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button