Kenali Institusi

YIDE – PRIHATIN KEBAJIKAN UMMAH

Menjadi sinonim dalam negeri Selangor, bila mana menyebut Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) sangat sinonim dengan anak-anak yatim, menyoroti sejarah tertubuhnya YIDE, ia bermula susulan lawatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mencemar duli melawat mangsa kejadian tanah runtuh melibatkan Rumah Anak Yatim Al-Taqwa di Hulu Langat pada 23 Mei 2011.

Atas keprihatinan tersebut, MAIS telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan entiti Yayasan Islam Darul Ehsan bagi tujuan mencakna akan keprihatinan kepada anak-anak yatim di negeri Selangor.

Namun peranan yang dimainkan oleh YIDE bukan sahaja menyantuni dan mengasihi anak-anak yatim, YIDE juga turut memainkan peranan sebagai peneraju rawatan dialisis dan juga menjadi barisan hadapan dalam membantu masyarakat khususnya di negeri Selangor yang dilanda musibah.

ANAK YATIM UKIR SENYUMAN

Pada tahun 2014, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah memberi mandat kepada YIDE untuk melaksanakan Program Agihan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak-anak yatim di negeri Selangor semasa Majlis Ihya’ Ramadhan bersama DYMM Sultan Selangor sebagai aktiviti tahunan YIDE dan menguruskan semua hal-ehwal berkaitan anak-anak yatim negeri Selangor yang sebelum ini di bawah pengurusan Bahagian Harta Baitulmal, MAIS.

Setiap tahun anak-anak yatim yang berdaftar melalui YIDE menerima sumbangan tunai khas yang diagihkan sebelum hari raya Aidilfitri bagi tujuan membantu mereka dalam persiapan hari raya. Anak-anak yatim ternanti saat ini, di manakah DYTM Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli untuk menyantuni sendiri anak-anak yatim ini dengan menyerahkan sumbangan raya kepada anak-anak yatim terpilih di setiap lokasi jelajah Ramadhan Yatim setiap tahun. Gembiranya tidak dibuat, kerana senyuman mereka sangat Ikhlas.

Jumlah anak yatim yang didaftarkan di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) ialah 12,380 orang pada tahun 2025.

Kini YIDE mengorak langkah dengan membangunkan sebuah Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah yang dibangunkan di atas tanah yang diwakafkan oleh Central Spectrum (M) Sdn. Bhd. seluas 3.47 ekar dan projek ini turut membuka ruang kepada seluruh masyarakat khususnya di Negeri Selangor bersama-sama melazimkan ibadah wakaf dalam memastikan pembinaannya siap seperti yang dijadualkan.

PUSAT DIALISIS MAIS – PENERAJU KESIHATAN BUAH PINGGANG

Pada tahun 2013, Yayasan Islam Darul Ehsan telah mula mengorak langkah dengan mengambil alih dan mengurus selia enam (6) buah Pusat Dialisis MAIS yang sebelum ini di bawah pengurusan MAIS Dialisis Sdn Bhd. Asas penubuhan Pusat Dialisis MAIS adalah untuk menyediakan perkhidmatan rawatan dialisis yang berkualiti kepada pesakit buah pinggang.

Menariknya di Pusat Dialisis MAIS ini, YIDE menyediakan pengangkutan secara percuma kepada semua pesakit melalui 6 cawangan ini bagi tujuan mengambil pesakit dari kediaman ke Pusat Dialisis MAIS dan menghantar semula pulang ke kediaman pesakit berkenaan. Selain itu juga, YIDE juga turut memberikan subsidi kepada pesakit-pesakit dialisis yang mana lebihan rawatan yang tidak ditanggung oleh penaja akan ditanggung sepenuhnya oleh YIDE melalui sumbangan orang ramai yang diterima.

Jelas dengan penubuhan Pusat Dialisis MAIS ini, menunjukkan keprihatinan YIDE dalam memastikan masyarakat menerima rawatan dialisis ini yang terbaik dalam ruang yang sangat kondusif.

BENCANA – SALUR SUMBANGAN SEGERA

Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) membantu mangsa bencana dengan menyediakan bantuan seperti sumbangan, sokongan moral, dan bantuan kewangan untuk keluarga yang ditimpa musibah.

Baru-baru ini letupan gas di Putra Height yang berlaku, YIDE antara agensi terawal hadir menyalurkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa yang ditimpa musibah berkenaan.

Selain itu juga, YIDE berperanan sebagai penyelaras misi bantuan banjir sekiranya melibatkan negeri-negeri lain yang dilanda musibah, untuk rekod di Negeri Kelantan, Kedah turut disantuni oleh YIDE bersama MAIS, Agensi dan anak Syarikat MAIS yang lain.

SATU AMAL, SEJUTA MANFAAT

Kekuatan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) sebahagian besarnya adalah hasil daripada aktiviti dan sumbangan dana masyarakat yang prihatin dengan keperluan keadaan sekeliling. Setiap sumbangan tersebut akan diberi pelepasan cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Teruskan bersama YIDE dalam mengukirkan senyuman mereka. Infak kalian, senyuman mereka! Edisi.

Back to top button