WABAK AI: BARAH ATAU RAHMAT?

AI hakikatnya seperti pisau, boleh memotong buah juga mencederakan orang. Percayalah, AI jika dimanfaatkan, ia mampu mencetuskan game changer bagi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan seluruh agensi Islam di negeri Selangor. Hakikatnya, menerima perubahan zaman adalah satu kelebihan; jika menolaknya adalah satu kerugian. Maka, mari sama-sama kita intai, apakah rahmat AI di sisi MAIS?
01 TADBIR URUS FATWA DAN PERSOALAN SYARIAH
Umat Islam sebenarnya menghadapi sedikit kesukaran dalam mendapatkan jawapan kepada pelbagai isu Syariah yang membelenggu. MAIS boleh memanfaatkan AI untuk memudahkan urusan ini. Bagi orang awam, soalan boleh segera diajukan. Bagi MAIS dan pihak berkaitan, dapat pula segera menyajikan jawapan. Fatwa dan keputusan Syariah boleh disajikan dengan mudah kepada umat.
Penyelidik di Jabatan Mufti Negeri Selangor misalnya, boleh memanfaatkan AI untuk mencari segala bahan berkaitan yang diperlukan. Jika dahulu mereka memerlukan masa berhari-hari dan mencari pelbagai kitab; kini cukup memasukkan kata kunci dan jawapan segera tersaji. Apa yang perlu ialah bagaimana mengolah jawapan dari hasil carian. Juga kemahiran menyemak silang agar jawapan tidak tempang. Di sini, baik penyelidik mahupun orang awam, masing-masing akan menerima rahmatnya.
Bayangkan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Selangor (JHEIS) seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS), serta agensi seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS), dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) masing masing dapat memanfaatkan platform ini untuk memberikan pencerahan pelbagai isu dan mencerahkan tadbir urus Syariah kepada masyarakat.
02 ANALISIS SOSIAL DAN EKONOMI UMAT ISLAM
Bagi LZS, PWS dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), semua agensi ini dapat memanfaatkan AI untuk membantu dalam proses merancang gerak kerja masa hadapan. Misalnya, membuat kajian tentang unjuran pertumbuhan ekonomi bagi mendokong aspek kutipan zakat dan wakaf, melakukan persiapan jika akan berlakunya peningkatan asnaf fakir dan miskin akibat ketidaktentuan global dan sebagainya lagi. AI adalah medan yang amat mudah dimanfaatkan kerana ia adalah bersifat ‘big data’ serta komprehensif sifatnya.
03 PEMERKASAAN DAKWAH ISLAMIAH
AI juga membuka peluang yang amat luas bagi MAIS dan seluruh agensinya termasuklah NGO Islam yang bernaung di bawah MAIS, untuk melebarkan lagi ruang dakwah Islam. Pastikan umat Islam dan Non-Muslim yang mahu mendapatkan informasi Islam, mendapat bahan yang betul dari AI hasil sumbangan MAIS dan pihak yang berkaitan. Dengan itu, maka AI dapat menjadi alat dakwah yang berkesan kepada semua orang.
04 PENDIDIKAN ISLAM YANG SYUMUL
Pendidikan Islam hakikatnya dapat diperkasakan dengan memanfaatkan AI. Tanya jawab isu akidah, pembelajaran sifat 20, bab ibadah asas – solat, zakat, puasa dan haji, bab taharah, pendidikan akhlak, pendidikan al-Quran dan al-hadis sebenarnya dapat disalurkan dengan AI. Realiti hari ini pun, sudah ramai Non-Muslim yang mempelajari Islam melalui AI. MAIS dan agensinya perlu berusaha menyalurkan bahan-bahan pendidikan yang sesuai demi manfaat semua pihak.
Kesimpulannya, MAIS dan semua pihak di Selangor perlu memanfaatkan AI. Wujudkan Pusat Inovasi AI dan sediakan model AI patuh syariah dalam bahasa Melayu-Inggeris-Arab yang benar-benar bermanfaat untuk kegunaan dakwah, fiqh dan tadbir urus Islam di negeri ini. Wallahua’lam. Edisi


