UMAT TOKSIK

Sumpah seranah. Makian dan carut-marut. Pengabaian aurat. Pergaulan bebas. Hilang kesopanan. Inilah antara perbuatan yang kini seakan-akan cuba dinormalisasikan. Dahulu, adab
nombor satu. Kini, adab makin nipis. Senipis pakaian segelintir artis yang tidak silu-silu mengucapkan alhamdulillah ketika memenangi anugerah popular di pentas hiburan. Kemuncaknya, di Mekah pun masih ada yang ‘tidak segan-segan’ meraih ‘like and share’ dengan pelbagai aksi di media sosial.
Nyata sekali, normalisasi ‘songsang’ ini realitinya kian parah. Tanpa sedar, ia adalah toksik. Merosakkan pemikiran secara akut (jangka masa panjang). Khususnya dalam kalangan anak-anak kecil. Hingga akhirnya manusia menerima apa adanya. Tidak merasa bersalah atas apa yang asalnya salah. Alasannya, sudah menjadi lumrah. Tak kisahlah berlakon berpegangan tangan; asalkan tudung di kepala di tanggal jangan. Inilah contoh ‘normalisasi toksik’ yang makin diterima ramai.
Sebelum itu, toksik umumnya boleh difahami sebagai keadaan yang beracun dan mampu meracuni pihak lain. Toksik dalam umat Islam hari ini, umumnya sudah menjalar ke pelbagai penjuru kehidupan. Skala kerosakannya? Ya, ia agak sukar ditentukan dengan neraca saintifik. Namun melihat kepada apa yang terpapar di media sosial, nyatanya ia amat merisaukan.
Bayangkan, jika seorang wanita sanggup terkinja-kinja tanpa malu, atau seorang suami mendedahkan aib isteri tanpa waswas, atau seorang anak sanggup mengherdik orang tuanya tanpa rasa bersalah, lalu apakah lagi yang mampu kita bayangkan? Begitu juga, apabila ibu bapa sanggup merosakkan anak-anak dengan mengabaikan pendidikan agama, dan menggalakkan mereka tenggelam dalam ‘takungan noda’, tidakkah itu toksik? Selain itu, bayangkan betapa sadisnya bila budaya kebencian bebas bermain di bibir manusia bergelar pemimpin, bukan toksikkah namanya?
Itu belum dicampur dengan parahnya permainan maya di gajet, atau berapa banyak masa orang yang terbuang dengan asyiknya menatal (scrolling) layar hand phone. Berapa ramai yang mengabaikan tanggung jawab, melalaikan pekerjaan dan menjejaskan kualiti perkhidmatan? Tidak toksikkah itu?
Justeru, ‘umat toksik’ adalah satu pertanyaan sekali gus pernyataan, agar kita tidak menjadi sebahagian daripadanya. Ia bukanlah bermakna semuanya rosak. Namun kita berusaha mencegah. Inilah harapan kami di Edisi MAIS, menjunjung cita cita mulia eksistensi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang tidak lain dan tidak bukan, demi menyelamatkan kehidupan umat Islam. Menjadi lebih bermaruah. Menjadi lebih beradab. Selamat dunia dan akhirat.
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin.”
(az-Zariyat: 55)
Selamat meladeni Edisi MAIS pada kali ini dengan pelbagai tajuk dan huraian mengenai toksik dalam kehidupan. Semoga kita dapat menapis segala toksik yang ada. ‘Umat toksik’, bukanlah bermakna semuanya rosak. Namun kita mahu menyelamatkan diri dan orang lain daripada kerosakan. Wallahua’lam. Edisi