1/2023Man Jadda Wa Jada

BAITUL IMAN ubah hidup saya…

Pemuda itu pernah memberontak serta terlibat dalam masalah sosial akibat terpengaruh dengan kawan-kawan sehingga disabitkan dengan kes khalwat.

 

Oleh: Shahrul Effendy Bin Md Saat (fendy@mais.gov.my)

Eksekutif Perhubungan Awam & Khidmat Pelanggan, MAIS

 

Demikian sisi gelap yang ditinggalkan remaja lelaki berusia 17 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal (bukan nama sebenar) sebelum dia kini membina kehidupan baharu di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman kelolaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Ketika ditemui penulis, Kamal (bukan nama sebenar) yang menghuni pusat itu sejak tiga bulan lalu, berkata dia sering terpengaruh dengan ajakan kawan-kawan untuk melakukan perkara negatif.

“Sebelum ini, saya sering dipengaruhi kawan-kawan dan terlibat dengan masalah sosial seperti tinggal solat, pergaulan bebas dan sebagainya,” luah Kamal (bukan nama sebenar).

Pun begitu, pemuda itu sangat bersyukur ditempatkan di Baitul Iman kerana dapat memperbaiki dirinya ke arah kebaikan

“Saya telah disabitkan kesalahan berkhalwat dan telah dihantar ke sini untuk menjalani pemulihan selama lima bulan atas perintah mahkamah,”katanya.

Belajar Mengaji

Menurutnya, Baitul Iman mengubah kehidupan kelamnya kepada yang lebih baik dan mula sedar bahawa hidayah itu milik Allah SWT yang dikurniakanNya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki “Di sini saya belajar solat, mengaji, betulkan bacaan dalam solat dan ceramah agama daripada tenaga pengajar. Ustaz-ustaz di sini juga banyak bercerita tentang kisah-kisah Nabi yang membuatkan saya insaf dan takut untuk terus berbuat dosa. “Cukuplah sekali saya melakukan dosa. Apabila berada di sini (Baitul Iman), kehidupan lebih terurus selepas saya mempelajari ilmu agama dan menunaikan solat. Saya ingin berubah menjadi lebih baik. “Walaupun kehidupan silam saya masih tersisa dalam diri ini, ia tidak menjadi penghalang untuk saya terus istiqamah dalam menjadi insan yang diredhai Allah SWT,” katanya.

Dalam pada itu, Penguasa Baitul Iman, Puan Mazlina Osman berkata, beliau berharap agar penghuni-penghuni di pusat pemulihan itu dapat menggunakan ruang dan peluang untuk berubah ke arah lebih baik.

“Bila berada di sini, mereka tinggal dalam suasana agama dan dipantau oleh ustaz-ustaz yang bertauliah. Saya berharap mereka istiqamah untuk berubah ke arah yang lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan yang lalu,”katanya ketika ditemui oleh penulis. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button