Kemusykilan Umat

SENGKETA PUSAKA

Sengketa pusaka bukanlah perkara baharu dalam masyarakat Islam di Malaysia. Walaupun hukum faraid telah digariskan dengan jelas dalam al-Quran dan hadis, pelaksanaannya sering berhadapan dengan pelbagai cabaran apabila melibatkan emosi, ketamakan, dan kurangnya kefahaman terhadap hukum syarak. Sengketa pusaka bukan sahaja menjejaskan hubungan kekeluargaan, malah boleh menimbulkan kesan sosial dan ekonomi yang serius. Firman Allah SWT.

“Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
(Al-Nisa 11)

Oleh

Ustaz Haji Mohammad Salleh bin Abdul Saha (salleh@mais.gov.my)
Ketua Bahagian Dakwah & Pemasaran, Sektor Baitulmal,
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Sengketa pusaka merujuk kepada pertikaian atau konflik antara ahli waris mengenai pembahagian harta peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia. Sengketa ini boleh berlaku sebelum proses pembahagian dijalankan atau selepas pembahagian dibuat, apabila terdapat waris yang tidak berpuas hati terhadap cara, jumlah, atau keabsahan pembahagian tersebut.

Sengketa pusaka memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, tetapi juga masyarakat secara keseluruhan:

  • Hubungan kekeluargaan renggang – adik-beradik bermusuhan, tidak bertegur sapa, malah ada yang membawa kes ke mahkamah.
  • Harta beku meningkat – harta tidak dapat diagih kerana tiada kata sepakat dan sehingga menyumbang kepada harta beku yang mencecah bilion ringgit.
  • Kesan ekonomi – aset yang tidak dimanfaatkan menyebabkan kerugian kepada waris dan negara.
  • Imej Islam tercalar – apabila umat Islam gagal melaksanakan hukum Allah dengan adil dan amanah.

Untuk mengelak sengketa pusaka, beberapa langkah proaktif perlu diambil:

a) Perancangan Harta Semasa Hidup

Gunakan instrumen Islam seperti Wasiat, Hibah atau Wakaf bagi mengelakkan pertikaian selepas kematian.

b) Pendidikan Faraid

Masyarakat perlu didedahkan dengan ilmu Faraid melalui kursus, seminar, dan platform digital agar faham hak dan tanggungjawab sebagai waris.

c) Peranan Institusi Islam

Majlis Agama Islam Negeri, Mahkamah Syariah, dan Pejabat Pusaka perlu bekerjasama mewujudkan sistem mesra pengguna, cepat, dan berintegriti dalam urusan pusaka.

d) Menerapkan Nilai Akhlak dan Amanah

Sengketa tidak akan selesai tanpa keikhlasan dan rasa tanggungjawab moral. Islam menekankan keadilan, kasih sayang, dan rundingan damai dalam menyelesaikan konflik.

Sengketa pusaka merupakan isu yang boleh menggugat keharmonian keluarga jika tidak ditangani dengan hikmah. Penyelesaian terbaik ialah dengan menggabungkan kefahaman syariah, kejujuran, dan perancangan awal. Setiap Muslim perlu sedar bahawa harta hanyalah amanah sementara, manakala keadilan dalam pembahagiannya adalah tuntutan agama yang membawa keberkatan dunia dan akhirat. Sebarang pertanyaan berkaitan Harta Pusaka, Wasiat dan Hibah boleh hubungi Majlis Agama Islam Selangor di talian 03-5514 3772 / 03-5514 3773 atau WhatsApp 010-251 9556 atau layari laman sesawang www.mais.gov.my. Edisi

Related Articles

Back to top button