SAHKAH NIKAH PENGAMAL AJARAN SESAT?
A lhamdulillah kita dapat bertemu kembali melalui EDISI MAIS keluaran Disember 2024 dan saya akan membicarakan tajuk, “Sahkah Nikah Pengamal Ajaran Sesat?”
Nikah bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul bagi menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan. Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’.
Manakala Istilah ajaran sesat telah ditakrifkan oleh Bahagian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dan berlawanan dengan akidah Islamiah, bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah, bertentangan dengan mazhab yang muktabar dan bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Kembali kepada tajuk perkongsian, “Sahkah Nikah Pengamal Ajaran Sesat?”. Selagi mana pernikahan yang di laksanakan menepati Hukum Syarak dan bertepatan pula dengan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 maka pernikahan tersebut dianggap sah tetapi sekiranya pernikahan tersebut membelakangi prosedur perundangan dan menyalahi enakmen yang telah diperuntukkan maka pernikahan tersebut adalah tidak sah dan boleh disabitkan dengan kesalahan Jenayah Syariah Negeri Selangor.
Sebagai perkongsian bersama antara kesalahan-kesalahan yang melanggar prosedur dan menyalahi Enakmen Undang Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 ialah;
SEKSYEN 39. AKAD NIKAH PERKAHWINAN YANG TIDAK DIBENARKAN.
Nikah di luar negara tanpa kebenaran pendaftar perkahwinan di Selangor adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.
KESALAHAN-KESALAHAN BERHUBUNGAN DENGAN AKAD NIKAH PERKAHWINAN
SEKSYEN 40. (1) Seseorang yang dengan diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan:
(a) tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau
(b) di hadapan selain di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai di samping orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum;
• denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau
• penjara tidak melebihi enam bulan atau
• kedua-duanya denda dan penjara itu
(2) Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akad nikah atau yang menjalani sesuatu cara akad nikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum;
• denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau
• penjara tidak melebihi enam bulan atau
• kedua-duanya denda dan penjara itu.
Dinasihatkan kepada individu yang ingin bernikah di Negeri Selangor, perlu melalui prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan mematuhi Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Manakala isu ajaran sesat yang semakin membarah dalam masyarakat memerlukan kerjasama bersama daripada semua pihak bagi memastikan masalah ini dapat dibendung dan ditangani dengan kolektif demi kemaslahatan bersama.