ROKOK ELEKTRONIK DAN VAPE

Isu penggunaan vape atau rokok elektronik dari sudut hukum Islam telah menjadi perbincangan di kalangan ulama dunia, institusi fatwa di Malaysia dan juga beberapa organisasi Islam antarabangsa yang memutuskan hukumnya sebagai haram. Pada 21 Disember 2015, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2016 yang bersidang pada 19 Januari 2016 menyatakan pengharaman rokok elektronik dan vape. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap rokok elektronik dan vape atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan rokok elektronik dan vape.
Berdasarkan fatwa yang telah diputuskan di atas, jual beli vape atau sesuatu yang berkaitan dengannya adalah termasuk jual beli yang diharamkan. Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA., bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud “Sesungguhnya jika Allah telah mengharamkan sesuatu, maka haramlah upah (hasil penjualannya)”. (Riwayat Ahmad)
Penetapan hukum haram terhadap vape adalah selaras dan kukuh berasaskan kerangka Maqasid Syariah yang menjamin kesejahteraan umat Islam serta generasi ummah.
Analisisa Maqasid Syariah melalui pelbagai kajian kemudharatan menzahirkan penggunaan vape jelas bertentangan dengan sekurang-kurangnya tiga tujuan utama, iaitu Hifz al-Nafs (memelihara nyawa), Hifz al-Mal (memelihara harta) secara langsung, serta Hifz al-Aql (memelihara akal) melalui ketagihan nikotin.
Kita sebagai warga, amat khuatir apabila pada 9 September 2025, Menteri Kesihatan Malaysia melalui Buletin TV3 mendedahkan terdapat hampir 45,000 pelajar sekolah di seluruh negara pada tahun 2024 dikesan merokok menggunakan rokok konvensional, elektronik atau vape.
Persoalan penting untuk difahami ialah mengapa kanak-kanak dan remaja begitu mudah tertarik kepada vape. Pelbagai alasan diketengahkan antaranya produk ini begitu mudah didapati, ia dijual secara terbuka di kedai runcit mahupun dalam talian, tanpa kawalan umur yang ketat. Harga yang mampu milik menjadikan ia lebih mudah dicapai berbanding rokok tradisional. Selain itu, media sosial memainkan peranan besar melalui pemasaran terselindung. Iklan jarang muncul dalam bentuk langsung, sebaliknya diselitkan melalui gaya hidup, trend fesyen, atau aksi santai influencer yang menjadikan vape kelihatan glamor dan boleh diterima dalam sosial.
Keadaan ini diperkuatkan lagi dengan pelbagai perisa seperti buah-buahan atau manisan yang menutup hakikat bahawa vape adalah produk nikotin yang sangat berbahaya.
Ramai pula yang menyangka vape lebih selamat kerana dianggap sekadar air perisa tanpa menyedari bahawa kandungan nikotin dan bahan kimia lain masih sarat di dalamnya dengan kesan ketagihan yang sama atau lebih kuat daripada rokok.
Penyelesaian tuntas terhadap isu vape dalam kalangan masyarakat memerlukan strategi yang sangat komprehensif dan bersepadu yang melibatkan empat teras utama iaitu Perundangan dan Penguatkuasaan, Pendidikan dan Pencegahan, Rawatan dan Intervensi, dan Kawalan Produk. Begitu juga penyelesaian dalam menangani ketagihan vape ini adalah bermula dengan mengiktiraf dan menyebarluaskan fatwa vape sebagai haram lantaran kemudaratan kepada nyawa, akal, dan pembaziran harta, yang bertentangan dengan Maqasid Syariah. Seterusnya boleh diterjemahkan melalui usaha taubat individu serta berhenti secara total dengan sokongan padu dari keluarga dan masyarakat serta penguatkuasaan dan pendidikan oleh pelbagai pihak berkuasa dan institusi agama. Sampai bila generasi umat kita terus diselimuti dengan mimpi ngeri bahaya vape ini?
Ayuh…anda masih ragu dan memerlukan penjelasan lanjut penetapan hukum haram vape ini?…sila berhubung dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor. https://www.muftiselangor.gov.my. Edisi



