REMAJA, GAJET DAN EIDUL FITRI

Eidul Fitri merupakan perayaan penting umat Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan. Ia adalah masa untuk bermaaf-maafan, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan meraikan kejayaan Ramadhan. Dengan perkembangan teknologi, khususnya penggunaan gajet, cara sambutan Eidul Fitri di kalangan komuniti khususnya remaja kini berubah dengan ketara.
Gajet membolehkan remaja berhubung dengan rakan dan saudara-mara yang jauh melalui panggilan video, media sosial, dan mesej. Ada juga menggunakan gajet untuk merakam kenangan perayaan, berkongsi gambar atau video serta menghantar ucapan Eidul Fitri. Kelebihan ini menjadikan sambutan lebih interaktif, viral dan trending.
Namun penggunaan gajet yang berlebihan turut menimbulkan beberapa cabaran di kalangan remaja di antaranya:
KURANG INTERAKSI SOSIAL
Remaja lebih fokus menatap telefon, mendengar muzik atau bermain game berbanding berkomunikasi bersama ahli keluarga atau tetamu yang datang berkunjung. Situasi ini boleh menyebabkan nilai silaturahim di antara keluarga menjadi kaku dan lesu di saat menyambut Eidul Fitri.
GEJALA FOMO (FEAR OF MISSING OUT)
Istilah yang merujuk kepada perasaan cemas atau takut ketinggalan sesuatu yang dianggap penting dalam konteks media sosial. Remaja merasa mereka ketinggalan atau tidak lengkap menyambut Eidul Fitri jika tidak memuat naik gambar atau melihat status aktiviti rakan mereka. Perasaan ini mendorong remaja ‘asyik’ dengan gajet. Mencipta gaya hidup yang sangat terikat kepada dunia maya, menghabiskan masa di platform medsos untuk dijadikan alat membandingkan diri, kejayaan atau kebahagiaan.
KETAGIHAN GAJET
Remaja terlalu leka melayari medsos untuk melihat aktiviti orang lain, bimbang terlepas update atau trend raya. Perbandingan sosial di Instagram, TikTok, dan Facebook merasa kehidupan sendiri ‘kurang’ meriah. Ia juga memberikan kesan kesihatan fizikal dan mental remaja. Kurang tidur, keletihan dan masa untuk menziarahi keluarga dihabiskan dengan hiburan digital sehingga remaja gagal menghayati nilai sebenar Eidul Fitri.
Bagi menangani cabaran gajet dan Eidul Fitri beberapa solusi praktikal di antaranya:
MEMPERKASA PERANAN IBU BAPA DAN KELUARGA
Mereka boleh mewujudkan ‘zon bebas gajet’ semasa makan atau semasa majlis keluarga, serta menetapkan waktu tertentu untuk menggunakan gajet. Aktiviti seperti makan beramai-ramai, sesi bermaafan, dan kunjung-mengunjungi boleh dijadikan zon bebas gajet bagi menggalakkan interaksi sosial yang lebih harmoni. Yang paling utama perlaksanaan bermula daripada ibu bapa.
MEMANFAATKAN KEMAJUAN TEKNOLOGI
Gajet memberi kesan positif dan negatif bergantung pada cara ‘melihatnya’. Menghalang daripada menggunakannya bukanlah tindakan yang tepat. Sebaliknya betulkan dahulu cara menggunakannya. Gajet sangat bermakna untuk merakam kenangan indah, menghantar ucapan kreatif atau berhubung dengan saudara yang jauh tanpa mengabaikan komunikasi bersemuka.
MENERAPKAN NILAI MURNI
Remaja perlu dididik tentang adab dan etika penggunaan gajet serta kepentingan kesederhanaan agar tidak ‘ketagihan’ dan ‘mabuk’ sehingga mengabaikan nilai sebenar sambutan Eidul Fitri.
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama masjid, surau, NGO’s dan penceramah bertauliah sentiasa menyampaikan kesedaran mengenai penggunaan gajet secara bijak, menyediakan bahan digital berunsur dakwah, serta menggalakkan program interaktif untuk mendidik remaja tentang adab digital dan nilai kekeluargaan khususnya dalam menyambut Eidul Fitri.
Kesimpulannya, gajet bukanlah penghalang untuk meraikan Eidul Fitri, tetapi penggunaannya perlu seimbang dengan kesedaran remaja, bimbingan keluarga, komuniti dan institusi agar bermanfaat tanpa menjejaskan nilai tradisi Eidul Fitri di antara dunia digital dan realiti. Eidul Fitri bukan tentang siapa paling hebat, tetapi siapa paling bersyukur, saling bermaafan dan kebersamaan yang dapat menterjemahkan hakikat Eidul Fitri yang lebih bermakna daripada likes, comments, and shares. Kekalkan Gajet Persaudaraan, Gajet Ziarah dan Gajet Kemaafan dalam menyambut Eidul Fitri. Ingatlah pesanan Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaknya ia menyambung silaturahim (kekerabatan).” (Sunan Abu Daud No: 1443). Edisi



