RAYA TANPA BARAKAH

Pernahkah kita bertanya kepada generasi muda kita, apakah yang mereka faham dengan hari raya? Bagi generasi lama, hari raya adalah medan mempertemukan saudara-mara yang lama terpisah. Namun kini, dengan kehadiran gajet di sisi, adakah peranan hari raya sudah berubah? Masih samakah fungsi raya?
Iya, dengan gajet serba canggih dan kepantasan teknologi internet, kita semua mampu berhubung walaupun seseorang itu berada nun jauh di benua Antartika.
Apa pun jawapannya, hari raya di sisi agama punya dua sisi besar. Pertama, meraikan kemenangan setelah berjuang sepanjang Ramadhan. Kedua, memberikan kegembiraan kepada sesama Muslim khususnya kepada mereka yang miskin.
Kedua-duanya dirangkum di atas satu premis yang sama: Hari raya hari bergembira. Betapa penting hari ini, hinggakan Allah SWT sendiri mengharamkan berpuasa pada 1 Syawwal, kerana puasa boleh menghilangkan rasa gembira.
Lalu, di antara kegembiraan pada hari raya adalah dengan memakan pelbagai makanan enak, mengenakan busana cantik dan menghias rumah sehingga meriah. Kegembiraan itu lebih terserlah dengan perkongsian cerita bahagia di antara kita pada hari raya.
Saat bertemu, kita saling bercanda dan derai tawa pun bergema. Ia melengkapkan sebuah episod gembira di hari raya. Menjadikan hari raya kekal sebagai kenangan terindah di lipatan sejarah. Terasa ingin terus saling membahagiakan antara satu sama lain.
Di sinilah, kita bimbang andai ada yang gagal mengawal perasaan gembira sehingga hilang barakah hari raya. Apa puncanya?
Ya, misalnya berlaku pembaziran; maraknya pergaulan bebas atau percampuran jantina; ralit beraya dan asyik berhibur sehingga mengabaikan kewajipan agama, lebih parah saling banding siapa lebih hebat, saling pamer kekayaan dan saling bersaing tentang kecantikan dan itu ini.
Manusia, memang cenderung begitu. Mahu dilihat lebih. Jika dalam bahasa mudah, itulah riak. Untuk makluman, riak adalah dari dalam kalimah ‘ra-a’ yang bermakna lihat. Menonjolkan kelebihan agar dilihat orang, lalu beroleh pujian dan juga pengiktirafan. Takut di akhirnya, hilang pahala diganti murka Allah SWT. Hari raya pun bertukar menjadi medan mengikis iman dan menghabiskan pahala. Inilah bencana raya.
Lalu, menyedari peri pentingnya memperkasakan kefahaman dan amalan dalam kalangan orang Islam di Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan seluruh agensinya tidak pernah berhenti mendidik kita semua. Sama ada lewat mimbar khutbah di masjid, atau kaca TV dan corong radio, juga di pelbagai wahana media sosial, tulisan dan suara peringatan terus bergema.
Mudah: Jadikan hari raya sebagai jambatan menautkan kembali ukhuwwah yang mungkin pernah bernanah. Jadikan Eidul Fitri sebagai batu loncatan meraih kebaikan dengan amalan sedekah. Lupakan sebentar segala gajet dan berikanlah tumpuan kepada orang yang wujud nyata di sekeliling kita. Hari raya, jadikanlah ia medan gembira penuh pahala.
Akhirnya, selamat beribadah kami ucapkan kepada semua pembaca Edisi MAIS. Kami yakin, kesungguhan kita memelihara Ramadhan akan dijawab oleh Allah SWT dengan kemenangan nyata di hari raya. Kemenangan yang dinikmati dengan hati yang bahagia, kerana kata nabi itulah kemuncak kenikmatan yang sebenarnya. Selamat hari raya semua. Edisi



