Jendela Syariah

PROSES BERTAUBAT

P ersoalan akidah bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan kerana ia berkait rapat dengan maqasid shari`ah iaitu dalam aspek penjagaan agama (hifz al-Din). Gejala kerosakan akidah
seperti permohonan tukar agama atau murtad perlu dipandang serius dalam usaha memelihara akidah umat. Kesalahan berkaitan permohonan keluar Islam atau percubaan keluar Islam di Mahkamah Syariah boleh berlaku melalui permohonan tukar agama, permohonan tukar nama Melayu Islam, peminggiran cara hidup Islam oleh saudara baru dan permohonan tukar agama bagi saudara baru. Ini kerana Mahkamah Syariah sahaja yang diberi kuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau sebaliknya.

Oleh

Mohamad Shukry bin Sulaiman (shukry@muftiselangor.gov.my)
Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Negeri Selangor

Dalam menanggani permasalahan keluar Islam ini, Istitabah adalah satu proses untuk memberi peluang bertaubat bagi mereka yang melakukan kesalahan akidah seperti ajaran sesat dan murtad. Pendekatan yang digunakan sama ada melalui proses runding cara akidah. Proses rundingcara akidah ini dikendalikan oleh pihak jabatan mufti di peringkat negeri khususnya bagi kes-kes permohonan keluar Islam.

Ingin ditegaskan bahawa proses Istitabah yang dikendalikan di Jabatan Mufti Selangor ini adalah di bawah bidang kuasa al-Riqab, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Manakala Unit Khidmat Nasihat, Jabatan Mufti Selangor mengendalikan runding cara akidah atau penasihatan akidah melalui perintah mahkamah selepas pemohon mengemukakan permohonan keluar Islam atau pengesahan status agama di Mahkamah Syariah dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah.

Sebelum keputusan mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi orang Islam, Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah terlebih dahulu memerintahkan orang itu menjalani program pemurnian akidah mengikut ketetapan pihak berkuasa agama Islam negeri.

Bagi maksud itu, penasihatan akidah adalah merujuk kepada proses runding cara, sesi kaunseling, program motivasi, ziarah dan apa- apa juga program lain yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Selangor bertujuan memulihkan akidah Islam. Selepas tempoh pemurnian akidah itu, mahkamah boleh mengeluarkan perintah sama ada orang itu kekal Islam atau sebaliknya.

Dengan sesi penasihatan akidah yang dikendalikan oleh panel bertauliah yang dilantik, kepelbagaian latarbelakang kepakaran, panel-panel ini berkemampuan melaksanakan tugas membimbing kembali pemohon- pemohon ke jalan yang benar. Sejajar dengan konsep taubat itu sendiri yang perlu berlaku serentak antara tindakan, penyesalan dan azam untuk tidak mengulanginyaa lagi di masa akan datang.

Secara ringkasnya, proses taubat adalah seperti berikut:

i. Perintah Mahkamah

ii. Sesi Penasihatan Akidah 12 sesi dalam tempoh enam (6) bulan

iii. Laporan kepada Mahkamah

iv. Mahkamah bersidang

v. Majlis Istitabah; dan

vi. Sesi lawatan dan bimbingan Istitabah selama 90 hari yang dikendalikan oleh skuad Istitabah MAIS

Penggunaan modul yang sistematik sepanjang sesi adalah sebagai rujukan membantu pemudahcara memberi bimbingan dan khidmat nasihat kepada individu yang berhasrat untuk menukar agama Islam atau yang telah menukar agama (murtad). Selain itu, modul ini juga bertujuan untuk mengembalikan semula individu tersebut kepada agama Islam dan membantu mengukuhkan semula akidah dan asas-asas agama Islam secara sistematik dan terancang.

Secara umumnya, modul yang digunakan merangkumi 12 modul sepanjang tempoh pemurnian akidah. Walau bagaimanapun, pemudahcara boleh menggunakan budi bicaranya dalam memberi khidmat nasihat dan bimbingan mengikut kesesuaian dan latar belakang pemohon. Modul ini hanya sebagai panduan kepada pemudahcara. Kebiasaannya, proses pemurnian akidah bermula dengan sesi taaruf latar belakang dan sahsiah peribadi pemohon. Pemudahcara akan meneruskan sesi pemurnian akidah dengan modul yang berikutnya berkaitan iman, akidah, ibadat, tasawur Islam dan sehingga selesai sesi. Pendekatan yang digunakan adalah lebih bersifat kaunseling dan memujuk pemohon untuk kekal dalam Islam.

Walaubagaimanapun, hidayah itu adalah milik Allah SWT dan ia sangat subjektif untuk menentukan keberkesanan amalan rundingcara ini, namun sekurang-kurangnya proses ini akan membantu pemohon dan membolehkan mereka mempertimbang semula hasrat keluar Islam. Keampunan daripada Allah SWT yang membawa kepada penghapusan dosa dan pengurniaan syurga adalah antara kejayaan yang akan diperolehi oleh individu yang kembali kepada Islam dan bertaubat kepada Allah SWT. Edisi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button