Gen Q

POLEMIK HAJI MUDA: TUNTUTAN DAN CABARAN

Menunaikan haji di Baitullah menjadi impian setiap Muslim. Terpilih menunaikan haji pada
usia muda adalah anugerah terindah daripada Allah. Panggilan yang sangat dinantikan. Pelengkap kepada rukun Islam yang kelima sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali-Imran: 97)

Oleh

Dr. Halim bin Mokhtar (halim@kuis.edu.my)
Pensyarah Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor

Menunaikan haji sangat berkaitan dengan kemampuan. Tuntutan istito’ah (kemampuan) dari segi kesihatan, kewangan, perjalanan, kemampuan perbelanjaan serta sedia menunggu giliran. Semua pergerakan memerlukan kepada kesihatan dan kekuatan fizikal yang mantap seperti tawaf, sa’i, berwuquf di Arafah, bermalam di Mina, melontar jamrah, bermalam di Muzdalifah. Terdapat beberapa faktor yang mendorong untuk menunaikan haji pada usia yang muda:

1. Kesedaran Agama yang tinggi.

Tingkat keimanan dan kerohanian yang tinggi untuk menyahut panggilan Allah. Dimulai dengan niat dan tekad serta diiringi dengan berdoa. Komitmen yang membara, bersedia meluangkan waktu, tenaga, dan harta untuk melaksanakan ibadah haji. Tiada batas usia dalam syarat wajib mengerjakan haji bersedia menyahut panggilan Allah tanpa alasan.

2. Persiapan Kewangan.

Bersedia menguruskan kewangan khususnya untuk menunaikan ibadah haji. Mengutamakan keperluan daripada
kehendak. Sentiasa berusaha untuk tujuan haji. Tidak ghairah membelanjakan wang untuk membeli simbol kemewahan dan privilege.

3. Galakan Ibu Bapa Dan Keluarga.

Kesedaran individu adalah sangat penting disamping peranan ibu bapa dan keluarga yang saling mengingati untuk menunaikan haji. Semangat ini akan mendorong setiap individu teruja untuk menjadi tetamu Allah pada usia yang muda.

4. Pandangan Masyarakat.

Menunaikan haji muda dapat menyumbang berbagai kebaikan. Merebut kesempatan untuk menjadi muslim yang lebih baik, dihormati dan disegani, serta memberikan impak positif kepada generasi muda.

5. Mendaftar awal dengan TH.

Membuka akaun Tabung Haji dan terus mendaftar untuk menunaikan haji. Tempoh mendaftar dan tahun giliran haji sangat jauh. Berada dalam senarai menunggu pastinya kena bersedia untuk menerima giliran haji pada usia yang muda.

Hakikatnya haji muda mempunyai pelbagai cabaran sehingga menimbulkan ruang yang boleh menggugat amalan haji di antaranya:

1. Persiapan Ilmu.

Haji ialah ibadah yang praktikal. Tanpa ilmu, ibadah haji tidak akan mencapai kemabruran. Keculasan dalam menuntut ilmu seperti kehadiran kursus Haji yang dianjurkan oleh pihak TH akan memberikan kesan dalam pelaksanaan ibadah. Bersedia mendalami ilmu dan perkongsian pengalaman. Peka dengan nasihat dan bimbingan yang diberikan oleh pihak TH.

2. Persiapan Mental Dan Fizikal.

Tidak serius untuk menjadi tetamu Allah. Jiwa muda gagal dilentur. Kerap berlaku gagal mengawal emosi, perasaan marah dan menahan sabar sepanjang ibadah haji berlangsung. Selalu pentingkan diri sendiri dan ikut perasaan.

3. Asyik Dengan Handphone.

Kemudahan yang sangat mencabar, boleh mendekatkan dan boleh menjauhkan. Tarikan handphone dengan pakej medsos terkini menjadikan setiap perkara adalah content yang mesti di upload dan setiap view mesti like, share & komen sehingga menyebabkan peluang untuk menggandakan ibadah di bumi barakah telah diabaikan.

4. Matlamat Haji Yang Kabur.

Tidak memahami falsafah dan matlamat menunaikan haji. Semacam program pelancongan ke pulau peranginan atau jalan-jalan cari makan sedangkan ia merupakan program ibadah. Sering merasakan ada peluang lagi untuk tunaikan haji next time kerana usia masih muda.

5. Sibuk Membeli belah.

Al kisah membeli belah di Madinah dan Makkah sangat mengasyikkan. Keghairahan tawaf di Kaabah telah menyebabkan kedai-kedai juga turut ditawaf. Agenda yang selalu menjadi tumpuan jutaan jemaah haji yang ingin memborong barangan untuk dijadikan hadiah kepada sanak saudara dan sahabat handai. Segalanya berpaksikan keberkatan bumi Mekah dan Madinah meskipun barangan itu “made in Malaysia”.

6. Pengurusan Harta.

Persoalan kewajipan menunaikan zakat harta sering di ambil mudah disamping perkara berkaitan urusan wasiat, hibah dan wakaf. Perkara ini boleh dirujuk di Lembaga Zakat Selangor, Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Perbadanan Wakaf Selangor. Sucikan harta dan buatlah persediaan.

Kesimpulannya haji muda banyak kelebihannya sekiranya menepati matlamat ibadat haji. Kesiapsiagaan kerohanian dan jasmani merupakan aspek penting terhadap perlaksanaan ibadah haji yang sangat simbolik sehingga dapat meningkatkan keimanan dan keberkatan hidup. Bersedia untuk menjadi tetamu Allah dan rebutlah kesempatan yang mendatang. Seperti kata pepatah “Hidup hanya sekali nikmatilah… mati juga hanya sekali bersedialah…”#labaikallah #inilahhaji. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button