Peranan JAIS Menangani TOKSIK Dalam Ajaran Agama

Toksik dalam ajaran agama peranan siapa? Bagi saya, peranan menangani atau
membuang toksik dalam ajaran agama adalah tanggungjawab kita semua. Walau bagaimanapun, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai salah satu pihak berkuasa agama mempunyai peranan yang tersendiri dalam bertindak menangani isu dan cabaran ini.
Bagi menyingkirkan atau meneutralkan toksik ini, JAIS sentiasa melaksanakan detoksifikasi dengan menjalankan usaha-usaha dakwah (usaha untuk menyeru, mengajak, dan membimbing manusia ke jalan Allah SWT agar mereka beriman kepada Nya, mengamalkan ajaran Islam yang benar serta mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat) dan tazkirah (peringatan, nasihat, atau teguran) kepada umat Islam di negeri ini. Ia dilaksanakan dalam bentuk aktiviti, forum, seminar, dialog, wacana, program dakwah turun padang dan sebagainya dengan kerjasama pelbagai pihak seperti jabatan kerajaan, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi), institusi pengajian tinggi, syarikat swasta dan lain-lain lagi. Usaha dakwah dan tazkirah ini juga dipertingkatkan melalui hebahan di media sosial, laman web, penerbitan seperti buku, jurnal, artikel, pamflet, poster, video, info grafik termasuk menyumbang penulisan dalam penghasilan majalah EDISI ini.
JAIS mencegah toksik ini berlaku kepada anak-anak di peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah (di bawah kawalan JAIS) dengan memastikan sistem pendidikan berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pencegahan ini termasuk memastikan guru takmir dan penceramah di masjid dan surau mempunyai tauliah sebelum menyampaikan ilmu agama dan melindungi kesahihan ilmu Islam yang disampaikan kepada umat Islam di Negeri Selangor.
Ada kalanya, simptom-simptom toksik menjadikan pegangan agama umat Islam menjadi goyah serta agama Islam yang dicintai dirosakkan oleh virus luar. JAIS mengambil langkah menguatkuasakan undang-undang, peraturan dan dasar yang telah diberi kuasa oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) antaranya ialah:
- Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001
- Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
- Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Dikalangan Orang Islam) (Negeri Selangor) 1988
- Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017
Penguatkuasaan undang-undang ini turut di perkasa dengan pelaksanaan Arahan-arahan Tetap Pengarah JAIS, Standard Operating Procedure Pengurusan Penguatkuasaan dan pewujudan talian bebas tol (1800-88-2424) sebagai pusat maklumat sehenti (one stop centre) di peringkat Negeri Selangor.
JAIS juga sentiasa komited dalam kerjasama dan koordinasi bersama agensi dan jabatan lain seperti Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i), Jabatan Agama Islam Negeri-negeri lain dalam kerjasama strategik dan perkongsian maklumat dalam menangani toksik dalam ajaran agama.
Apakah peranan anda dalam isu ini? Saya menggalakkan anda sentiasa memberikan kerjasama kepada JAIS dengan menyalurkan maklumat yang lengkap sekiranya simptom toksik atau toksik yang berlaku dalam lingkungan anda. Berikan kerjasama anda dalam usaha dakwah yang dilaksanakan oleh JAIS dengan menghadiri program atau menyebarkan hebahan yang dibuat melalui media sosial. Marilah kita bersama-sama menangani toksik dalam ajaran agama agar pegangan agama umat Islam sentiasa teguh dan kukuh serta agama Islam sentiasa dilindungi, dijaga dan disayangi oleh setiap umat Islam di negeri ini. Edisi



