Golongan salafussoleh (orang-orang soleh zaman awal Islam) menyambut Ramadhan dengan persiapan rohani yang luar biasa. Mereka memperbanyakkan berpuasa, sejak dari bulan Rejab dan Sya’ban. Maka, sebaik sahaja memasuki gerbang Ramadhan, mereka sudah mampu memecut laju. Tidak lagi pucat wajahnya menahan lapar. Tidak lagi kering bibirnya menahan dahaga. Apa lagi diserang gastrik secara tiba-tiba.
Oleh
Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid (hamizul@zakatselangor.com.my)
Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
Sebenarnya, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan agensi-agensi agama Islam di negeri ini sering mempromosikan penghayatan Ramadhan. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) misalnya, sudah selalu mengeluarkan poster-poster menarik menjelang Ramadhan. Ia adalah satu didikan halus agar kita lebih bersedia menerima kehadiran Ramadhan. Lembaga Zakat Selangor (LZS) sendiri sentiasa mengadakan kempen berzakat di bulan Ramadhan demi meraih pahala berganda di dalamnya.
Lalu demi menjadikan Ramadhan kali ini lebih bermakna, Edisi MAIS mahu berkongsi beberapa tips ini agar kita dapat amalkan bersama-sama:
AZAM BUKAN SEKADAR NIAT.
Ya, berazam untuk menjadikan Ramadhan pada kali ini lebih baik; bukan sekadar berniat untuk menyedapkan hati. Azam itu akan disusuli dengan tindakan yang lebih teratur. Azam mesti dikotakan dengan tindakan susulan; sedangkan niat kadang-kala hilang begitu sahaja ditelan masa.
TULISKAN SASARAN RAMADHAN.
Betul, cuba buat catatan yang jelas di rumah, bilik atau pejabat. Misalnya, ini sasaran saya Ramadhan ini: Tahajud minimum 10 malam; bersedekah setiap hari minimum RM1; tadarus minimum 10 juzuk dan solat berjemaah Subuh tidak kurang 15 hari. Ini sekadar contoh bagi mereka yang belum mampu menjaganya sebelum Ramadhan. Jika sudah sedia melakukannya sebelum itu lagi, maka tingkatkan sasaran masing-masing ke tahap lebih tinggi.
UZLAH DARI MAKSIAT.
Ya, maksiat menyebabkan iman jadi lemah. Maksiatlah yang menyebabkan kita jadi susah beribadah. Maka, sepanjang Ramadhan ayuh uzlah dari maksiat. Alang-alang si syaitan pun sudah diikat. Caranya, jauhi punca maksiat. Jika puncanya bersendirian, maka duduklah dengan sahabat yang baik. Jika puncanya di pasar atau bazar Ramadhan, maka banyakkan masa di masjid. Jika puncanya dari ‘hand phone’, kawallah diri untuk melihat hanya yang baik-baik.
TINGKATKAN AMAL SOLEH.
Setelah kita mengawal diri dari maksiat, maka dekatkan diri dengan ibadat. Caranya, sibukkan diri dengan Allah SWT. Membaca al-Quran, bertadarus dengan kawan-kawan, membaca buku motivasi, bertaubat, berselawat, memberikan sedekah, menjaga solat berjemaah, meningkatkan silaturrahim dan memulihkan ukhuwah yang mungkin sebelum ini sudah terbelah. Bila kita sibuk dengan Allah SWT; maka Allah SWT akan menjaga kita. Percayalah.
SEMAKAN SUKUAN RAMADHAN.
Jarang kita mahu duduk sebentar dan menyemak kembali, apakah sasaran kita dan tindakan kita selama ini masih berada di atas landasan yang benar atau sudah tersasar. Jika sudah tersasar, perbetulkan ‘allignment’ dan kembali berada di atas ‘track’ yang betul. Sehinggalah akhirnya tirai Ramadhan pun berlabuh dan kita dapat menyudahi Ramadhan dengan hati yang penuh rasa keredhaan.
BAGI PENGHARGAAN.
Ya, bagilah penghargaan kepada diri sendiri atas pencapaian yang diperolehi. Tidak ada salahnya. Misalnya, jika saya dapat solat tahajud 10 malam dalam bulan Ramadhan, maka saya akan makan sedap di restoran hebat. Boleh juga bagi penghargaan kepada anak dan isteri jika mereka turut mencapai sasaran Ramadhan. Ia menjadi motivasi buat diri.
Bagaimana? Sudahkah kita bersedia menjalani Ramadhan pada kali ini dengan lebih bermakna? Sesungguhnya, tidak ada yang lebih bermakna, melainkan kita menemui Ramadhan dengan penuh kehangatan dan ketika Ramadhan meninggalkan kita nanti; ada oleholeh yang ditinggalkan. Itulah dia ‘ketaatan’ kita dalam beramal kepada Allah SWT, sebagai bukti kita telah pun menjalani persahabatan yang penuh akrab dengan sahabat yang bernama ‘Ramadhan’. Edisi