Info Sihat

PENYAKIT KRONIK TIDAK WAJIB MENUNAIKAN HAJI

Haji ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadah-ibadah tertentu menurut syarat-syaratnya. Hukum menunaikan ibadah haji adalah wajib sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.

Mengerjakan haji merupakan rukun Islam ke lima bagi umat Islam. Justeru itu adalah sangat penting bagi semua bakal jemaah haji untuk membuat persiapan diri dari semua aspek termasuk penjagaan kesihatan.

Semua jemaah haji termasuk kanak-kanak yang dibawa untuk mengerjakan haji diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan dan mempunyai surat akuan doktor bagi memperolehi visa haji. Ini merupakan syarat/peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi semua jemaah yang ingin menunaikan fardu haji.

Oleh yang demikian, menurut Garis Panduan Pemeriksaan Bakal Haji Edisi Ke-9 telah menggariskan keperluan untuk semua bakal-bakal haji menjalani saringan kesihatan di fasiliti kesihatan yang ditetapkan.

Bagi bakal haji yang sedang menjalani rawatan dialisis dan setelah pemeriksaan dijalankan, maka kriteria yang tidak boleh diluluskan untuk menunaikan ibadat haji tahun semasa.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-84 yang bersidang pada 15 Disember 2008 telah membincangkan Hukum Menunaikan Haji Bagi Pesakit Yang Menjalani Rawatan Hemodialisis. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Pesakit yang menghidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadah haji;

2. Pesakit kronik adalah wajib melaksanakan badal haji (upah haji) sekiranya berkemampuan daripada sudut kewangan; dan 

3. Sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadah haji jika berkemampuan.

Islam secara prinsipnya tidak memberatkan umatnya terhadap sesuatu perkara melainkan sekadar yang termampu. Demikian juga, kewajipan menunaikan haji yang terikat dengan syarat-syarat yang khusus, salah satu daripadanya ialah berkemampuan untuk menunaikannya.

Allah SWT telah meletakkan kemampuan sebagai syarat untuk diwajibkan haji antaranya ialah mempunyai tubuh badan yang sihat dan terhindar daripada segala kesakitan yang boleh menghalang daripada melakukan perkara yang perlu dalam masa merantau untuk mengerjakan haji.

Kebanyakan ulama’ berpandangan bahawa mereka yang menghadapi penyakit kronik dan terikat kepada rawatan tidak wajib menunaikan haji kerana situasi mereka dianggap sebagai darurat.

PENYAKIT BUAH PINGGANG

Penyakit Buah Pinggang ialah suatu penyakit yang tidak berjangkit. Pada lazimnya, penyakit buah pinggang dianggap sebagai ‘penyakit senyap’, yang selalunya tidak menunjukkan gejala awal dan jelas. Majoriti pesakit buah pinggang tidak menyedari sehingga ianya sudah terlambat iaitu, apabila fungsi buah pinggang sudah di tahap yang teruk dan terjejas.

End Stage Renal Failure (ESRF) merupakan kegagalan buah pinggang tahap akhir yang juga dikenali sebagai penyakit kerosakan buah pinggang yang kekal.

Penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) direkodkan semakin meningkat dengan hampir 9,500 pesakit baharu didaftarkan memerlukan rawatan dialisis setiap tahun.

KHIDMAT RAWATAN PENYAKIT BUAH PINGGANG

Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) adalah anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menguruskan dan mengawal selia serta klinikal semua Pusat Dialisis MAIS.

Sehingga kini terdapat Enam (6) buah cawangan Pusat Dialisis MAIS (PDM) di Shah Alam, Kapar, Kuala Selangor, Sungai Besar, Taman Melawati (Gombak) dan Bukit Jelutong (Shah Alam).

Bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang, boleh mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat di salah satu cawangan Pusat Dialisis MAIS dengan menghubungi Ibu Pejabat YIDE di talian 03-3345 9900. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button