FokusIsu

Wanita Dakwa Diabai Zakat

23 Februari 2022, berdegar-degar warganet apabila seorang wanita meluahkan rasa tidak puas hatinya di media sosial. Ia pun tular dengan segera. Bukan sedikit, lebih 1.2 juta penonton telah menyaksikannya. Turut diseret sama ialah nama Lembaga Zakat.

“Kak Yana rasa kecewa sangat dengan JKM Perak dan Lembaga Zakat Perak. Dua tahun Kak Yana perjuangkan untuk bantuan ibu Kak Yana, korang memang banyak sangat alasan. Lembaga Zakat pun suruh kitaorang tunggu lagi, tunggu lagi. Nak kita orang tunggu berapa lama lagi. Nak kita orang semua minta bantuan kat gereja ke…?”

Demikianlah antara luahan rasa penuh kecewa Kak Yana. Ia pasti mengundang rasa marah warganet. Apa lagi nama zakat turut terseret.

“Dengan enam orang anak yang ditanggung, pendapatan yang tak seberapa, saya tertekan.”

Luahnya lagi penuh emosi. Sehubungan itu, kami warga amil zakat di seluruh institusi zakat Malaysia, telah menerima mesej bertalu-talu. Demikianlah. Jika ada viral isu baharu, pasti ramai yang inginkan penjelasan. Tidak kurang juga kadang-kadang ada yang agak emosi, cuba memancing kami dengan soalan dan dakwaan bersifat provokasi. “Lulus kak. Jangan risau. Lepas viral, mesti lulus.”

“Benda macam ini selalu je jadi. Kalau tak ada cable dalam, memang susah la nak lepas. Bukan setakat pihak zakat je, pergi la mana-mana ejensi kerajaan…”

“Kalau kau ada sedara, adik-beradik dalam jabatan kerajaan atau pusat zakat, kompom dapat walaupun asalnya tak layak..”

Demikianlah antara komen balas warganet. Andai mahu disenaraikan komen-komen berkenaan, memang ‘koyak’ (istilah warganet bagi menggambarkan tergurisnya emosi) kami warga zakat.

Namun benarkah dakwaan Kak Yana? Ingat, viral tidak selalunya mencerminkan senario sebenar. Ibarat drama, ada elemen suspen yang menjadi rencah. Elemen tragedi menjadikan plot lebih dramatik. Namun realitinya, perlulah diselidiki terlebih dahulu.

Bertindak atas aduan, maka pihak-pihak yang berkaitan mula menjalankan siasatan. Akhirnya, terbukti bahawa kenyataan yang sebenar tidaklah seteruk yang diluahkan. Mengikut pendedahan oleh Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kak Yana dan ibunya merupakan asnaf di Wilayah Persekutuan sebelum mereka berpindah ke Perak. Selama tinggal di Wilayah Persekutuan, mereka telah menerima banyak sekali bantuan. Antaranya bantuan perniagaan (2013) sebanyak RM2,000 dan bantuan kewangan bulanan (2015-2016)
sebanyak RM250 yang kemudiannya telah dinaikkan kepada RM400 sebulan.

Setelah menikah dengan suami keduanya, bantuan zakat untuk modal perniagaan juga telah diberikan atas nama suaminya (2019) sebanyak RM2,000. Anak-anak mereka turut menerima bantuan persekolahan, iaitu sebanyak RM500 (2019), RM600 (2020) dan RM800 (2021). Malangnya, bantuan persekolahan bagi tahun 2022 tidak dapat diserahkan atas masalah teknikal terkait perpindahan mereka ke Perak yang juga tidak dimaklukan kepada pihak Baitulmal MAIWP.

Ibunya yang sakit pula, sebenarnya merupakan penerima bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan, selain turut mendapat rawatan di Hospital UKM, Cheras. Malah beliau turut disantuni zakat oleh MAIWP seperti berikut, iaitu bantuan bulanan RM200 (2013), dan dinaikkan ke RM250 sebulan bagi tahun 2014-2015.

Pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk) juga turut menjalankan siasatan. Hasilnya mendapati, benar Kak Yana ada membuat permohonan, namun beliau baharu sahaja menghantar permohonan bantuan zakat pada 3 Februari 2022. Sehubungan itu, MAIPk telah segera menyerahkan bantuan kecemasan RM300 dan akan disusuli dengan bantuan kewangan bulanan bagi ibunya yang sakit.

Kesimpulannya, isu yang viral ini walaupun tidak menyentuh Lembaga Zakat Selangor (LZS) atau MAIS secara spesifik, namun hakikatnya ia telah memberikan citra yang negatif kepada seluruh institusi zakat di Malaysia. Ibarat nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Warga maya atau netizen yang tidak diketahui latar belakang mereka, atau boleh jadi merupakan musuh-musuh Islam akan menyusup atas nama samaran, lalu menjadikan isu viral ini sebagai batu loncatan dan menghentam institusi zakat.

Maka, berhati-hatilah dalam menerima viral di alam maya. Islam mengajar kita untuk bersifat tabayun (menyiasat) kesahihan cerita. Islam juga menyuruh kita bertanya kepada sumber dan pihak yang tahu, agar tidak terjebak dengan dosa.

Wallahua’lam. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button