Man Jadda Wa Jada

PELAJAR ASNAF YANG BERJAYA MENJADI MUTAWWIF

Bantuan Dermasiswa Pengajian Tinggi dan Bantuan Persediaan Masuk IPT memberikan manfaat kepada pelajar asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam mendapatkan pendidikan peringkat pengajian tinggi seterusnya mengeluarkan diri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan melalui kecemerlangan pendidikan. 

Mohamad Ariff bin Abdul Sarip merupakan salah seorang bekas pelajar tajaan penuh LZS. Berpendidikan Sarjana Muda di Jordan dalam bidang Fiqh Wa Usuluhu atas tajaan LZS dan sekarang telah mampu memiliki syarikat sendiri, Safar Buddies Travel & Services Sdn Bhd mengendalikan dan menguruskan ibadah Umrah dan Haji.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menemubual beliau tentang pengalaman dan perjalanan karier beliau sehingga berjaya ke tahap kini.

BIODATA:
Nama: Haji Mohamad Ariff bin Abdul Sarip
Umur: 36
Asal: Bangi, Selangor
Status Perkahwinan: Berkahwin. Mempunyai 2 orang anak.
Latar Belakang Pendidikan: Diploma di Universiti Islam Selangor, Degree di Universiti Mutah Jordan, Master di Universiti Teknologi Malaysia
Jawatan terkini: Pengarah, Safar Buddies Travel & Services Sdn Bhd
Edisi MAIS: Boleh kongsikan ringkasan tentang latar belakang kehidupan saudara?

Mohamad Ariff: Saya merupakan bekas pelajar tajaan penuh LZS ketika menuntut pengajian peringkat Sarjana Muda di Jordan dalam bidang Fiqh Wa Usuluhu. Setelah tamat pengajian di sana, saya pulang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kebolehan dan pengetahuan serta latar belakang pendidikan saya.

Dalam waktu pencarian arah serta tujuan kerjaya yang saya inginkan, saya turut terlibat dalam sektor kewangan dan perbankan Islam. Kemudian saya beralih arah ke bahagian guaman Syariah bagi melebarkan lagi pengetahuan dan pengalaman kerjaya. Sehinggalah saya ditawarkan tajaan yuran pengajian untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Master) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor.

Tetapi oleh kerana kekangan kewangan dan komitmen pada masa itu, saya tidak dapat untuk menyambung pengajian saya ke peringkat PhD dan meneruskan cıta-cita sebagai pensyarah. Sejak itu, saya mula berusaha membina kerjaya dengan keterlibatan di dalam industri pengurusan dan pengendalian ibadah Umrah dan Haji.

Kini saya menerajui syarikat Safar Buddies Travel & Services Sdn Bhd sebagai Pengarah Syarikat.

Boleh kongsikan, bagaimanakah saudara berminat menceburi bidang mutawwif?

Saya ditawarkan untuk berkhidmat sebagai mutawwif disebabkan kebolehan saya bertutur dalam Bahasa Arab. Kerjaya sebagai mutawwif adalah bermula apabila saya berjinak-jinak menjadi mutawwif sambilan sewaktu masih menuntut di peringkat PhD.

Apakah pengalaman paling manis dilalui sepanjang menjadi
mutawwif?

Pengalaman manis terlalu banyak untuk dikongsikan tetapi jika ditanya yang paling manis adalah ketika saya berjumpa dengan jemaah bimbingan yang benar-benar ikhlas ingin meluahkan rasa dan beban ujian dunia kepada Allah SWT.

Saudara pernah mendapat tajaan pelajaran dari Lembaga Zakat Selangor. Boleh kongsikan, apakah bentuk tajaan yang diterima?

Pada asalnya, saya ditawarkan tajaan untuk menyambung pengajian di Morocco. Oleh sebab saya berhadapan dengan isu permohonan visa waktu itu, maka saya dinasihatkan untuk menyambung pengajian di universiti tempatan sahaja. Namun saya tetap tidak berputus asa dan setelah memohon beberapa kali, akhirnya pihak LZS bersetuju untuk menaja pengajian saya di Jordan. Alhamdulillah, Allah Maha Kaya telah memperkenankan doa saya dan saya amat berterima kasih dengan tajaan dan bantuan dari LZS berupa tajaan yuran pengajian, sara hidup dan buku-buku pengajian.

Saya berharap LZS atau mana-mana pihak menawarkan tajaan untuk saya melanjutkan pengajian di peringkat PhD pula.

Apakah nasihat saudara, jika ada di kalangan anak-anak asnaf yang berminat menjadi mutawwif pada masa hadapan?

Pesanan saya, kuasailah, pelajari Bahasa Arab sebaiknya dan melatih diri dalam bidang pengurusan dan juga libatkan diri berkhidmat kepada masyarakat. Sentiasa merebut peluang dan mengisi masa dengan menuntut ilmu. Bukan sahaja yang di pelajari di universiti tapi juga ilmu yang boleh didapati melalui kursuskursus ringkas terutama dalam bidang teknikal pelancongan. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button