MIQAT
Miqat menurut bahasa bermaksud batas manakala menurut istilah syarak bermaksud masa dan tempat beribadah. Terdapat 2 jenis miqat iaitu:
1. Miqat Zamani, merujuk tempoh masa yang sah untuk berniat ihram umrah (atau haji).
2. Miqat Makani, merujuk kepada tempat yang sah untuk berniat ihram umrah (atau haji).
Apakah persediaan kita sebelum bermiqat?
- Mencari ilmu sebelum menunaikan haji dan umrah;
- Perbetulkan niat;
- Mencari ilmu sebelum menunaikan haji dan umrah;
- Persediaan dari segi rohani dengan mendekatkan diri kepada Allah;
- Memastikan tubuh badan dalam keadaan sihat; dan
- Bermuhasabah diri dengan menyemak kembali harta yang dimiliki.
Sebelum bermiqat iaitu persiapan menunaikan haji atau umrah, perlulah di semak pemilikan harta yang diperoleh. Apabila menunaikan haji atau umrah sudah pasti banyak perbelanjaan yang kita belanjakan. Persoalannya bagaimana harta diperoleh? Adakah harta yang diwarisi dengan menafikan hak waris? Atau harta pusaka di agih mengikut selera nafsu?
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”
~Al-Nisa’ 4: 29
Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata maksud memakan harta dengan cara batil adalah dengan pelbagai cara perolehan yang tidak mengikut syarak seperti mengambil riba, bermain judi, merampas harta, dan menipu dalam timbangan jual beli (dan pelbagai lagi).
Perbuatan ini juga termasuk dalam salah satu perbuatan menipu dan sememangnya perbuatan tersebut amat dilarang dalam Islam. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Barangsiapa yang menipu maka dia bukanlah daripada kalangan kami.”
~Riwayat Muslim (101)
Bagaimana pula jika harta atau kewangan yang dimiliki berpunca dari sumber yang haram? Jika timbul persoalan sekiranya wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan, contohnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama, bagaimanakah ianya dapat dijernihkan?
Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang berkaitan iaitu: “apabila berkumpul perkara yang halal dengan perkara yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram.” Menurut kaedah di atas, apabila perkara yang halal dan yang haram bercampur aduk dalam sesuatu perkara itu, maka ia dianggap sebagai haram.
Dalam konteks ini, apa yang jelas adalah sesuatu yang halal tersebut (wang pokok) boleh digunakan manakala yang haram itu (faedah) hendaklah dilupuskan dengan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.
Namun sekiranya nilai yang halal dan haram itu tidak dapat dipastikan, maka kaedah berijtihad nilai (al-ihtiyath) boleh digunakan bagi menentukan pembahagian yang betul antara kedua-duanya. Dengan cara ini, perkara yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.
Kesimpulannya, pastikan sumber harta yang kita miliki ini adalah halal sebelum kita bermiqat dalam menjalani ibadah haji dan umrah. Segala permasalahan berkaitan harta pusaka atau pelupusan harta dan wang tidak patuh syariah boleh disalurkan ke Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor. Edisi