Artikel Khas

MENTAATI ULIL AMRI: LIDAH KHALIFAH

Mentaati Ulil Amri merupakan salah satu perkara yang dituntut oleh syarak selama mana suruhan tersebut demi menjaga maslahah serta menghalang mafsadah kepada rakyat. Di Malaysia, beberapa polisi umum telah dibentuk oleh Ulil Amri merangkumi pelbagai aspek termasuklah sosial, ekonomi, dan urusan hal ehwal agama Islam. Setiap polisi yang dibentuk adalah hasil daripada perbincangan demi perbincangan dengan badan-badan berautoriti serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang. Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk mengenal pasti Ulil Amri yang bertanggungjawab dalam mengendalikan dan menguruskan isu-isu demi kemaslahan ummah.

Oleh

Mohd Hafiz bin Abdul Salam (hafizsalam@mais.gov.my)
Ketua Pusat Penyelidikan, MAIS

Banyak nas baik dari al-Quran mahupun al-Sunnah yang jelas menunjukkan kepada perkara ini. Antaranya adalah firman Allah S.W.T. melalui Surah Al-Nisa’ (59) “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu”. Namun Ibnu Kathir dan Fakhruddin al-Razi ada menyatakan bahawa ketaatan kepada ulil amri hanyalah terikat dengan ketaatan mereka kepada Allah SWT serta Rasulnya sahaja. Justeru, ketaatan kepada perintah ulil amri adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang makruf sahaja dan bukan dalam perkara-perkara maksiat.

Secara takrifannya, ulil amri memberi maksud pemerintah atau penguasa yang sah atau dalam istilah modennya adalah Yang di Pertuan Agong, Raja-Raja, Perdana Menteri, Presiden atau pemerintah utama pada satu-satu tempat, negeri mahupun negara. Di Selangor, suatu enakmen iaitu Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 telah diwujudkan bagi mengadakan peruntukan tentang pentadbiran Agama Islam, bidang kuasa Mahkamah Syariah, penubuhan dan fungsi Majlis Agama Islam Selangor serta perkara lain yang berkaitan dengannya. Enakmen ini turut memperuntukkan fungsi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan selaku ketua agama Islam di Negeri Selangor dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam, tanggungjawab dan kuasa-kuasa Majlis dalam mentadbir hal ehwal agama Islam di dalam Negeri.

Majlis bertanggungjawab untuk menasihati DYMM Sultan berkenaan dengan semua hal yang berkaitan dengan agama Islam di dalam wilayahnya, kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang Islam (Jabatan Kehakiman Syariah Selangor) dan yang berkaitan dengan hukum syarak (Jabatan Mufti Negeri Selangor). Beberapa peranan umum Majlis yang lain ialah menggubal dasar dan memperakui keputusan dasar berkaitan ajaran Islam yang diputuskan oleh agensi-agensi agama Islam di peringkat persekutuan dengan efektif, memantau dan menyelaras perlaksanaan dasar Islam dan fatwa oleh agensi-agensi pelaksana di peringkat negeri serta menyiasat dan membuat dakwaan terhadap kesalahan di bawah perkara-perkara Hukum Syarak bagi melaksana keadilan demi menjamin kesejahteraan dan keharmonian ummah selaras dengan prinsip-prinsip maqasid syariah.

Justeru, masyarakat Islam di Malaysia perlu akur terhadap semua keputusan dan ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri melalui perkenan DYMM Sultan di peringkat negeri atau DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di peringkat persekutuan. Sebagai contoh, segala ketetapan berkaitan tarikh bermulanya puasa atau kaedah penentuan awal puasa dan hari raya. Umum mengetahui, bahawa tarikh bermulanya puasa akan diisytiharkan secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam 29 Syaaban setiap tahun setelah mendapat perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, sebagai masyarakat Islam Malaysia hendaklah sentiasa akur dengan segala ketetapan yang dibuat tanpa membandingkan ketetapan yang dibuat oleh negara-negara Islam yang lain. Di Malaysia kita mengguna pakai kaedah Rukyah dan Hisab berpandukan kriteria Imkanur Rukyah bermula dari tahun 1995. Asas kepada kaedah Rukyah dan Hisab yang diguna pakai ini adalah berpandukan kepada pendapat pendapat ulama’ muktabar.

Manakala, bagi penetapan kadar zakat fitrah pula akan ditentukan oleh setiap negeri masing-masing. Di Selangor sebagai contohnya, bagi menetapkan kadar zakat fitrah 2025, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah menurunkan kuasanya kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertanggungjawab selaku Agensi di bawah MAIS bagi melaksanakan ketetapan yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bagi tahun 2025 Masihi/1446 Hijrah yang telah menetapkan 3 kadar harga yang berbeza mengikut jenis beras yang dimakan bermula daripada RM7, RM15 dan RM22 dengan kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

Oleh itu, sebagai kesimpulannya segala ketetapan dan keputusan yang telah dibuat ini hendaklah dipatuhi dan dijunjung dalam mengelakkan kekeliruan, perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan persatuan dan kumpulan yang berbeza. Dalam masa yang sama juga, ianya dapat memelihara perpaduan dan keharmonian serta menjamin kemampanan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dicontohi selagi semua ketetapan yang dibuat tidak bertentangan dengan hukum syarak. Semoga Allah SWT memelihara dan memacu pemerintah Islam menuju ke arah keredhaan Allah S.W.T. Wallahua’lam. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button