Info Sihat

MASJID CINA MUSLIM KLANG, PEMANGKIN BAHARU PELANCONGAN ISLAM SELANGOR

Sarat dengan gaya seni bina China purba, Masjid Jamek Cina Muslim Klang yang terletak di Bandar Botanik di sini, memang mempesonakan. ‘Itulah ungkapan jemaah yang pertama kali hadir ke Masjid berkenaan”

Selain dari tempat masyarakat melaksanakan ibadah, Masjid Cina Muslim Klang juga sebagai pemangkin baharu pelancongan Islam di Selangor. Menariknya lokasi pembinaan masjid berkenaan hanya 15 peratus sahaja penduduknya beragama Islam, namun kehadiran Jemaah dan juga pelancong amat memberangsangkan.

Dibina di atas tanah seluas 1.2 hektar, masjid itu bukan sahaja memenuhi keperluan ibadah jemaah setempat, tetapi juga menjadi destinasi persinggahan bagi pelawat tempatan dan antarabangsa yang ingin mengenali Islam melalui seni bina, warisan dan keterbukaan komuniti.

Menariknya masjid ini dibina dengan menggunakan dana wakaf yang diwakafkan oleh orang ramai dengan jumlah terkumpul sebanyak RM2,123,661.18 yang mana dana berkenaan dikawal selia oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS)

Setiap Jemaah yang hadir nescaya akan teruja dengan bermula di pintu gerbang utamanya sudah menyerlahkan gaya klasik China. Ia diikuti dengan hiasan landskap, reka bentuk menara yang melentik, gaya tombol pintu, hiasan dalaman termasuk susun atur perabot, tulisan kaligrafi di dinding, sehingga ruang pengajiannya benar-benar mirip seni bina masjid di China.

Berdasarkan laporan akhbar memaklumkan sejak beroperasi, masjid itu menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 55,000 pelawat tempatan dan antarabangsa direkodkan setakat Disember tahun lepas, termasuk lawatan institusi dari Australia, Perancis, Jerman dan Jepun.

Ruang solat utama masjid mampu menampung kira-kira 350 jemaah pada satu-satu masa, dengan kapasiti boleh diperluas hingga 1,000 orang, sekali gus membolehkan masjid menganjurkan program berskala besar termasuk aktiviti berkaitan pelancongan Islam.

Bagi jemaah yang hadir, tidak khuatir kerana di masjid berkenaan terdapat satu kafeteria di pekarangan masjid yang menawarkan hidangan tradisional Cina seperti mi tarik, dim sum dan pau turut melengkapkan pengalaman ahli jemaah dan juga pelancong.

Tujuan utama adalah untuk memperluas peranan masjid yang tidak hanya dilihat sebagai tempat ibadah, tetapi juga ruang pendidikan dan tarikan budaya yang menghubungkan komuniti tempatan dengan pengunjung daripada pelbagai latar belakang.

Pada 5 Disember 2024, DYMM Sultan Selangor telah berkenan merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang dan menzahirkan harapan agar pembinaan masjid itu di samping rumah ibadat lain di kawasan sekitar, bukan sahaja dapat menjadi lambang perpaduan malah sebagai mercu tanda dan pusat tarikan pelancongan utama di Selangor

Terima kasih kepada semua pewakaf yang telah melazimi ibadah wakaf di Perbadanan Wakaf Selangor, dan Alhamdulillah Rumah Allah telah berdiri dengan indahnya menggunakan setiap sen dana wakaf yang telah diwakafkan.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya:
“Sesiapa yang membina sebuah masjid kerana Allah, sama ada kecil atau besar, pastilah Allah akan membina untuknya sebuah rumah (istana) di syurga”-(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) adalah agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah diamanahkan untuk menguruskan hal ehwal wakaf di dalam negeri Selangor ini. Pada 30 Oktober 2009, DYMM Sultan Selangor menitahkan MAIS menubuhkan PWS supaya pengurusan wakaf di Selangor dapat diperkasakan seperti pengurusan zakat. Mesyuarat MAIS Bil. 3/2010 yang bersidang pada 29 Jun 2010 bersetuju menubuhkan PWS di bawah peruntukan Seksyen 8, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Edisi

Related Articles

Back to top button