MABRUR vs MARDUD
Haji adalah salah satu daripada Rukun Islam yang lima. Haji ialah mengunjungi Baitullah alHaram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadah-ibadah tertentu menurut syarat-syaratnya. Hukum menunaikan ibadah haji adalah wajib sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan. Alhamdulillah, pada tahun ini iaitu pada 1445 hijrah bersamaan 2024 masihi, acara manasik haji baru selesai. Sekarang sedang rancak jemaah haji pulang ke tanah watan masing-masing termasuk dari Malaysia. Semoga Allah mengurniakan kepada Jemaah haji semua dengan haji yang mabrur.
APA ITU HAJI MABRUR & MARDUD?
Dari segi bahasa kata mabrur diambil daripada kata Barra, yang mengandungi pelbagai makna seperti syurga, benar, diterima, pemberian, keluasan dalam kebajikan. Begitu juga antara maksud mabrur atau al-Bir ialah ihsan dengan makna lain jemaah haji yang memperoleh haji mabrur sudah pasti banyak melakukan ihsan dan sifat yang baik.
Haji mardud adalah haji yang ditolak karena banyak dicampuri dosa dan segala sesuatu yang diperolehi dengan cara yang haram, contohnya pergi haji dengan duit yang haram atau rasuah.
AMALAN SELEPAS MENUNAIKAN HAJI
Antara amalan yang perlu dilakukan dan diteruskan oleh para jemaah haji selepas pulang dari Tanah Suci ialah:
1. MEMPERBANYAKKAN ZIKRULLAH DAN MEMBACA AL-QURAN
Ini sangat bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud;
”Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi.”
(Al-Baqarah : 200)
2. MEMPERBANYAKKAN DOA
Ini amat sesuai dikekalkan kerana semasa menunaikan haji, para Jemaah haji sentiasa berdoa dari semasa ke semasa. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud;
”Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Ghafir : 60)
3. SENTIASA KE MASJID DAN BERJAMAAH
Amalan ini telah dilakukan sebaik mungkin ketika berada di tanah suci melaksanakan ibadah haji. Maka bawalah semangat ini ketika pulang ke tanahair.
4. MENJADI AGEN PERUBAH
Saban tahun, seramai 4 hingga 6 juta jemaah haji datang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji dan berazam untuk memperbaiki serta mengislah diri. Bayangkan jika mereka boleh menjadi agen perubah kepada masyarakat sekeliling.
Untuk akhirnya, jemaah haji yang betul-betul mengambil manfaat dan semangat rehlah haji, sudah pasti akan ada perubahan yang ketara pada keperibadian, ibadah dan akhlaknya, mecapai redha Allah serta mampu menjadi qudwah dan suri teladan yang baik kepada anak bangsanya. Perubahan yang mereka bawa moga-moga menjadi kesan kepada masyarakat seterusnya mampu menjadi pemangkin kemajuan dan kegemilangan umat Islam.
Moga bermanfaat dan asbab kebaikan. Edisi