LZS MELAHIRKAN TENAGA ASNAF BERDAYA SAING MELALUI PROGRAM iKERJAYA

Program Pembangunan Inisiatif Kerjaya Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memberikan manfaat kepada para asnaf LZS dalam mendapatkan peluang pekerjaan bagi mengeluarkan diri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan.
Putera Syafiq Danial bin Shamsul Khairi merupakan salah seorang anak asnaf yang telah mendapat bantuan penuh LZS. Kini berkhidmat sebagai F&B surpervisor di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur serta mampu berdikari menanggung keperluan keluarganya.
Baru-baru ini, penulis berkesempatan menemu bual beliau tentang pengalaman dan perjalanan karier beliau sehingga berjaya ke tahap kini.
Boleh kongsikan ringkasan tentang latar belakang kehidupan
saudara?
Saya merupakan anak kepada asnaf Lembaga Zakat Selangor, kami sekeluarga menetap di Bangi Lama, Kajang. Saya mempunyai tiga adik beradik yang juga penerima manfaat bantuan pendidikan serta bantuan kewangan bulanan dan makanan bulanan sejak 15 tahun yang lalu yang telah meringankan bebanan kami sekeluarga.
Boleh kongsikan, bagaimana saudara boleh menyertai Program Pembangunan Inisiatif Kerjaya Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS)?
Setelah tamat pembelajaran saya tidak bertangguh lama, saya mempunyai keazaman ingin mengubah kehidupan kami sekeluarga, saya telah berusaha mencari beberapa peluang pekerjaan namun gagal, saya tidak mahu mengalah, suatu hari saya telah dihubungi seorang rakan, yang memaklumkan bahawa beliau akan menyertai Program Pembangunan Inisiatif Kerjaya Asnaf di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Keesokan harinya saya telah hadir ke kaunter LZS, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini, alhamdulillah saya telah dibantu oleh pegawai yang berkaitan dan menawarkan bagi mengikuti kursus selama 3 hari 2 malam.
Apakah manfaat yang diperoleh oleh saudara melalui program
tersebut?
Saya telah bertemu ramai sahabat asnaf yang turut sama menyertai program ini, kami telah menjalani sesi perkongsian ilmu, motivasi diri serta kata semangat bagi bangkit mengubah nasib keluarga. Hasil dari program ini telah menjadi galakan kepada saya agar segera bekerja.
Setelah tamat program ini saya telah menjalani intern di Hotel Villea Port Dickson selama tempoh 3 bulan seterusnya diterima bekerja sebagai F&B surpervisor di Royal Park Hotel, Bangi dan kini saya berkhidmat sebagai F&B surpervisor di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur berstatus perjawatan tetap.
Apakah nasihat saudara, jika ada di kalangan asnaf masih tidak mahu bekerja?
Pesanan saya, sebagai seorang asnaf buangkanlah sikap malas serta jangan takut serta hilang kepercayaan diri, kita perlu mempunyai sikap bertanggungjawab bagi mengubah nasib keluarga. Kita tidak boleh kekal berada di takuk yang lama, keluarlah mencari rezeki jangan dihiraukan pandangan orang sekeliling, bangkitlah buktikan kemampuan diri sehingga kita berjaya, kita perlu mengutamakan kebahagiaan ahli keluarga kita terlebih dahulu, serta berazam menjadi pembayar zakat pada masa akan datang, agar lebih ramai boleh dibantu. Terima kasih kepada semua pembayar zakat. Edisi



