KITA INI HAMBA RAMADHAN?

Aku dalam bulan Ramadhan ni jadi baik sikit. Solat awal waktu. Aurat aku tutup. Gossip aku stop dulu. Bukan apa, ini kan bulan mulia.”
Tidak sedikit orang seperti ini. Menjadikan Ramadhan sebagai bulan untuk ‘jadi baik.’ Kelakuannya, penampilannya, percakapannya pun jadi baik. Tunggulah nanti habis Ramadhan. Eh…kembali ke asal. Solat tidak tentu hala. Aurat tidak terjaga. Mulutnya kembali mengata ikut suka. Hamba Ramadhankah kita?
Tidak. Kita wajib menjadi hamba Allah SWT; bukan Ramadhan. Hamba Allah SWT tidak bermusim amalannya. Istiqamah. Tidak pilih pilih masa. Andai masih memilih Ramadhan sahaja, sedangkan di luar Ramadhan dia tidak memelihara dirinya, maka itulah pertanda dia hamba Ramadhan. Berubah kerana Ramadhan, ia tidak diterima oleh Allah SWT. Kita wajib berubah kerana Allah SWT. Istiqamah kerana Allah SWT dan apa sahaja kerana Allah SWT. Itu baharu hamba Allah SWT yang sebenar-benarnya.
Benar, Ramadhan ada aura yang luar biasa. Aura Ramadhan seolah olah mengubah manusia untuk menjadi lebih baik. Baguslah. Itulah keberkatan Ramadhan namanya. Memang ada masa-masa tertentu, Allah SWT memberikan keberkatan di dalamnya. Tidak sama hari Jumaat dengan hari yang lain. Tidak sama juga bulan Ramadhan dengan bulan yang lain. Barakahnya berbeza.
Buktinya, dalam bulan Ramadhan kita ada kekuatan tambahan untuk beramal, untuk taat dan jadi lebih warak. Kita mampu menahan diri sehingga 12 jam. Di dalam tandas kala bersendirian pun, tidak ada yang mahu membuka puasa. Kita mampu berdiri lama mendirikan solat Tarawih, hingga 23 rakaat. Malah, sanggup menahan ngantuk bertadarus al-Quran pada lewat malam. Bangun tahajud. Makan sahur. Subuh yang dulunya lambat, kini mampu berjemaah di masjid. Itu semua adalah bukti, betapa luar biasanya aura Ramadhan.
Sebetulnya, mari kita jadikan Ramadhan sebagai bulan memulakan perubahan. Bulan membasuh dosa, menggilap iman dan mencanai diri. Di bulan yang syaitan dirantai, nafsu pun lemah, maka kita punya ‘kesempatan emas’ untuk berubah. Berazamlah untuk terus istiqamah. Bertekadlah untuk mencari ampunan dan redha Allah SWT. Jika di bulan Ramadhan kita mampu, maka di luar bulan Ramadhan kita pasti mampu.
Percayalah, andai kita mampu mengekalkan momentum perubahan ini, maka kita adalah hamba Allah SWT; bukannya hamba Ramadhan. Kita sudah menjadi golongan yang menepati kehendak Allah SWT lewat didikan Ramadhan, iaitu ‘mudah-mudahan kamu bertakwa’. Orang bertakwa, dia kekal memelihara diri dari dosa sepanjang hayatnya.
Untuk mendokong aspirasi takwa ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan seluruh agensinya, berusaha memupuk budaya menjadikan Ramadhan sebagai bulan tarbiyah kepada umat Islam. Banyak aktiviti menarik diatur. Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya, sibuk menyediakan pelbagai keperluan membantu asnaf menyambut Ramadhan dengan lebih baik. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga bekerjasama dengan pelbagai pihak menganjurkan tazkirah di lapangan terbuka dan sebagainya lagi, agar umat Islam dapat merasai aura Ramadhan biar pun di luar masjid.
Apa yang penting, umat Islam hendaklah berazam untuk menjadikan Ramadhan sebagai sekolah, dan mematuhi segala silibus yang tersedia di dalamnya. Mengisi masa dengan ibadah, menunaikan zakat dan memperbanyakkan sedekah, berpada dalam menyediakan juadah dan paling utama, merebut pahala berganda tanpa lelah. Selamat berpuasa daripada kami di Edisi. Semoga kita semua menjadi hamba Allah SWT dan Ramadhan adalah langkah pertamanya. Wallahua’lam. Edisi