Man Jadda Wa Jada

KEJIRANAN YANG MERAIKAN TAHUN BARU CINA & DEEPAVALI

Kepelbagaian bangsa, agama dan bahasa menjadikan Malaysia sebuah negara yang
sangat unik. Hidup di dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama menjadikan masyarakat Malaysia sentiasa bertolak ansur serta menghormati antara satu sama lain. Persoalannya jika kita sebagai seorang Muslim menyambut perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali, adakah Islam melarang? Bagaimana pula, jika yang menyambut itu adalah daripada kalangan keluarga mualaf?

Oleh

Ustaz Haji Mohammad Salleh bin Haji Abdul Saha (salleh@mais.gov.my) Ketua Bahagian Dakwah & Pemasaran, Sektor Baitulmal, MAIS

Dalam hal ini, sebagai umat Islam kita dituntut untuk memelihara aqidah dengan berlepas diri daripada segala bentuk peribadatan dalam agama lain. Ia berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Kafirun:

Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.

Menurut Imam Ibn Kathir surah ini merupakan surah yang menjelaskan pelepasan diri daripada amalan yang diamalkan oleh orang musyrikin. Ayat tiga yang bermaksud “Dan tidaklah aku menyembah apa yang kamu sembah” bermakna aku tidak beribadat dengan ibadat kamu iaitu tidak mengambil jalan itu dan mengikutinya, sebaliknya aku menyembah Allah SWT. berdasarkan cara yang disuruh dan diredhainya.

Manakala ayat empat yang bermaksud “Dan tidaklah kamu menyembah apa yang aku sembah” bermakna kamu tidak mengikut perintah-perintah Allah SWT. dan syariat-Nya dalam beribadat bahkan kamu telah mereka-reka sesuatu daripada diri kamu sendiri.

Realitinya sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin masyarakat dan juga disertai pemimpin yang beragama Islam, masih di ruang lingkup yang dibenarkan oleh Islam. Ini kerana, ia bertujuan untuk menjaga dan memelihara hubungan masyarakat dan lebih kepada hidup dalam kontrak sosial yang diraikan tanpa menggadaikan prinsip agama.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.

Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Begitu juga bagi mualaf yang masih mempunyai keluarga yang belum menganut agama Islam, mereka boleh saling berhubung dan menyambut perayaan bersama bagi menyemai kasih sayang. Namun perlu diingati, bahawa pewarisan harta mereka akan terhalang kerana berlainan akidah.

Maka, MAIS mengajak masyarakat khususnya bagi mualaf untuk merancang harta melalui wasiat atau hibah bersama MAIS untuk memberi kepada keluarga tersayang. Semoga asbab pemberian ini mereka diberi hidayah untuk kembali kepada agama Fitrah. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button