Info Sihat

HUKUM POTONG USUS UNTUK KURUS

Alhamdulillah bersama kembali dalam majalah EDISI MAIS keluaran Mac 2026. Saya ingin berkongsi tajuk, “Hukum Potong Usus Untuk Kurus”

Oleh

Ustaz Hasal bin Senin (hasal@mais.gov.my)
Pembantu Eksekutif, Unit Pembangunan Kompetensi,
Majlis Agama Islam Selangor, MAIS

Definisi prosedur pemotongan usus adalah operasi untuk membuang bahagian usus, termasuk usus kecil, usus besar, atau bahagian akhir (rektum). Operasi pemotongan usus biasanya dilakukan untuk mengubati masalah penyakit atau penyumbatan pada usus. Demi mendapatkan tubuh yang langsing dan ideal, ramai dikalangan masyarakat Islam yang mengambil jalan pintas dengan melakukan prosedur pembedahan memotong usus. Hukum membuang atau memotong mana-mana bahagian tubuh samada bahagian luar tubuh atau bahagian dalam tubuh adalah diharamkan melainkan dua sebab;

Pertama; Ia diperintah oleh syarak seperti memotong kuku atau rambut atau tempat khitan atau seumpamanya. Maka memotong atau membuang barang yang diperintah syarak tidaklah termasuk dalam perbuatan yang dilarang.

Kedua; Kerana berubat yakni bertujuan menolak mudarat yang ada pada seorang seperti penyakit seperti memotong jari akibat penyakit kencing manis atau membuang buah pinggang yang rosak atau seumpamanya. Maka membuang anggota badan seperti ini tidaklah dilarang kerana masuk dalam katogeri berubat.

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Allah telah melaknat akan sekelian orang yang membuat tatu dan yang meminta ditatukan dan yang mencukur bulu kening dan yang meminta dicukurkan bulu kening dan yang menjarangkan giginya kerana mencantikkan diri yang mengubah mereka itu akan kejadian Allah.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Maka dapat difahami bahawa melakukan pembedahan samada pada anggota zahir seperti muka atau tangan atau kaki atau lainnya atau anggota batin seperti jantung atau buah pinggang atau perut atau seumpamanya kerana alasan merawat penyakit maka hukumnya adalah harus dan jika semata-mata kerana kecantikan maka hukumnya adalah haram. Jelaslah di sini bahawa, mengubah kejadian dengan membuat pembedahan membuang atau memotong usus supaya badan menjadi kurus untuk kelihatan cantik adalah haram dan dosa besar.

Diharuskan menjalani pembedahan membuang usus itu ialah kerana berubat seperti merawat penyakit kencing manis atau darah tinggi maka hukum membuang usus ketika ini adalah harus kerana hendak menolak mudarat dan menolak mudarat itu diperintah oleh syarak.

Kesimpulannya, hukum menjalani pembedahan membuang atau memotong usus itu harus jika kerana merawat penyakit seperti kencing manis atau darah tinggi atau kegemukkan yang boleh memudaratkan nyawa atau kesihatan atau lainnya. Manakala pembedahan membuang usus atas dasar kecantikan diri samada lelaki atau perempuan adalah haram dan dilaknat kerana mengubah ciptaan Allah SWT.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyarankan rujuklah kepada pihak berautoriti agama seperti Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) untuk mendapatkan pandangan syarak berkaitan permasalahan hukum bagi mengelakkan terjerumus kepada perkara yang diharamkan.

Manfaatkan majalah EDISI MAIS sebagai wadah ilmu yang bermanfaat dan moga menjadi asbab kebaikan. Edisi

Related Articles

Back to top button