HUKUM ONLINE GAME

Dalam era digital moden, permainan dalam talian (online game) telah menjadi sebahagian daripada hiburan remaja. Permainan ini dicipta khusus sebagai hobi untuk masa lapang. Akses kepada internet membolehkan sesiapa sahaja bermain pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Berdasarkan kaedah fiqhiyah, hukum asal bagi sesuatu perkara termasuk bermain online game adalah diharuskan selagi tiada unsur atau perkara-perkara yang boleh membawa kepada pengharamannya. Hukum asal bermain game adalah harus. Namun keharusan ini bersyarat iaitu selagi mana tidak terdapat unsur judi, lucah, rangsangan keganasan, unsur-unsur khurafat, meninggalkan ibadah serta selainnya.
Apabila remaja terlalu fokus pada online game, ia boleh membawa kepada sisi gelap iaitu ketagihan. Dalam pandangan syarak, fokus yang keterlaluan sehingga melalaikan adalah dilarang. Makruh bermain online game kerana terdapat unsur-unsur yang membuang masa. Hukumnya boleh bertukar menjadi haram apabila seorang Muslim itu meninggalkan tanggungjawab yang wajib seperti melewatkan waktu solat atau mengabaikan tanggungjawab terhadap perkara yang diwajibkan. Sesuatu perkara yang membawa kepada yang haram, maka perkara tersebut haram hukumnya.
Ketagihan kepada online game sering mencetuskan tingkah laku kompulsif. Ini termasuk isu malas belajar atau mengabaikan tugas harian. Ketagihan ini boleh menyebabkan prestasi akademik yang lemah dan hubungan interpersonal yang tegang. Remaja yang leka bermain sering hilang fokus terhadap realiti dan masyarakat sekeliling. Apabila terlalu asyik, pemain tidak sedar masa berlalu dan akhirnya perkara yang perlu diselesaikan dan menjadi kewajipan ketika itu terbengkalai. Ini termasuk mengabaikan panggilan ibu dan ayah serta tuntutan tanggung jawab dalam rumah. Secara khusus, ia dikira sebagai mengabaikan tanggungjawab wajib yang membawa kepada hukum haram.
Ketagihan online game boleh menjejaskan kesihatan seseorang secara serius. Dari segi fizikal, pemain yang duduk di hadapan skrin untuk jangka masa yang lama akan mengganggu waktu tidur dan rehat. Mereka juga berisiko mengalami kerosakan sementara pada mata, telinga, tangan dan jari. Bermain terlalu lama juga boleh menyebabkan “sindrom de Quervain” iaitu kesakitan dan ketidakselesaan di kawasan pergelangan tangan dan di bawah ibu jari. Remaja yang ketagihan akan cenderung tidak cergas dan cerdas kerana kurang tidur dan terasing daripada hubungan sosial.
Ketagihan online game tidak jauh berbeza dengan ketagihan dadah, kerana kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu mencari cara untuk berasa lebih baik. Pakar memberi amaran online game boleh meragut nyawa, boleh membantu seseorang melarikan diri daripada dunia nyata dan menjadikan kehidupan maya lebih menarik daripada kehidupan sebenar. Sebagai seorang Muslim, kita dicipta untuk mengabdikan kehidupan kepada Allah SWT sebagai ibadah. Kita digalakkan mengisi masa dengan perkara yang memberi manfaat. Permainan menjadi haram jika ia terbukti menjadi punca kepada tindakan ganas serta perlakuan jenayah. Allah SWT mengingatkan kita bahawa kehidupan bukanlah untuk melakukan perkara yang sia-sia:
“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah Al-Mukminun, ayat 115)
Setiap masyarakat perlu peka dan mengehadkan masa bermain game terutamanya kepada anak-anak agar tidak berlebihan dan mengakibatkan sesuatu yang tidak diingini. Ibarat seperti sebilah pisau, online game pada asalnya adalah alat yang berguna untuk hiburan dan asah kemahiran; namun, apabila digunakan secara melampau atau untuk tujuan yang salah atau mengabaikan kewajipan, ia boleh menjadi senjata yang melukai diri sendiri dan orang di sekeliling. Edisi



